Manndzri Pengerusi pertama konsisten santuni pekebun kecil kawasan pedalaman
Dalam memastikan agenda pembangunan desa benar-benar menjiwai keperluan rakyat, RISDA terus memperkukuh sistem penyampaiannya hingga ke kawasan pedalaman agar setiap inisiatif dapat disampaikan secara efisien kepada komuniti pekebun kecil.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan RISDA terhadap kesejahteraan pekebun kecil, serta menjadi sebahagian besar daripada hala tuju negara untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai pengeluar getah asli dunia dengan sasaran pengeluaran 1 juta tan metrik menjelang 2030.
Landskap pembangunan desa masa kini juga menuntut setiap agensi hadir bersemuka ke lapangan agar tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan. Bagi RISDA, keutamaan ini diterjemah melalui pendekatan responsif, dekat dengan rakyat dan berpaksikan keperluan sebenar komuniti, termasuklah yang berada jauh di pedalaman.
Justeru, komitmen ini diperkukuh menerusi Program Outreach De Tour Pedalaman RISDA, inisiatif yang diperkenal sebagai ‘game changer’ dalam usaha menyantuni pekebun kecil melalui kolaborasi strategik bahagian, kepimpinan negeri dan jentera pelaksana agensi. Program ini tidak hanya menelusuri penyampaian bekalan input pertanian di kawasan pedalaman, malah meningkatkan keterlihatan RISDA dalam komuniti selaras dengan semangat “RISDA Di Mana-Mana”.
Hakikatnya, cabaran pekebun kecil di pedalaman bukan sekadar faktor geografi, tetapi turut melibatkan akses kepada bantuan, bekalan input pertanian, khidmat nasihat teknikal, pengurusan hasil dan saluran pemasaran yang lebih konsisten. Justeru, RISDA memperkukuh sistem penyampaiannya dengan turun sendiri ke lapangan agar isu sebenar dikenal pasti dengan tepat dan penyelesaian dilaksana secara efektif.
Dalam hal ini, Manndzri Nasib, Pengerusi RISDA, kini menampilkan kepimpinan yang lebih ‘mesra rakyat’ apabila membawa hasrat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, agar RISDA terus menyantuni dan mendekati warga desa, khususnya pekebun kecil, selaras dengan agenda Aspirasi Desa MADANI yang menjadi fokus Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkasa pembangunan desa.
Pendekatan ini diterjemah melalui gerakan turun padang yang menyentuh terus denyut nadi kehidupan masyarakat desa. Malah, beliau menjadi Pengerusi RISDA pertama secara konsisten mengambil pendekatan masuk ke pedalaman, termasuk ke Kampung Peta, Mersing yang majoriti masyarakat Orang Asli suku Jakun; Pos Kemar, Gerik dihuni komuniti Orang Asli suku Temiar; Long Sukang, Lawas didiami etnik Lun Bawang; serta yang terkini ke Ulu Tembeling, Jerantut yang terkenal dengan komuniti Melayu Ulu.
Beliau menegaskan bahawa bantuan penanaman semula getah, bahan input pertanian dan sokongan pembangunan mesti sampai kepada komuniti sasaran tanpa mengira lokasi.
Pada 13 hingga 15 April lalu, RISDA melaksanakan Program Outreach De Tour Pedalaman Negeri Pahang dan Perasmian Depo Pengumpulan Sekerap di Kampung Semena, Ulu Tembeling. Program ini memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat melalui pengisiannya, seperti klinik pembangunan ladang, khidmat nasihat teknikal, pembekalan baja, santunan komuniti serta lawatan ke projek usahawan bimbingan RISDA.
Dalam ucaptama program, Manndzri menegaskan bahawa RISDA sentiasa berusaha memastikan kebajikan pekebun kecil terus dibela melalui inisiatif strategik yang dirangka secara menyeluruh, serta tiada mana-mana pekebun kecil harus tercicir daripada arus pembangunan, khususnya di kawasan pedalaman.
Selain penyampaian bantuan dan khidmat sokongan, RISDA memberi perhatian serius terhadap aspek pemasaran hasil. Penubuhan Depo Pengumpulan Sekerap di Kampung Semena dengan kos RM50 ribu membuktikan bahawa usaha memperkasa pekebun kecil tidak terhenti pada peringkat pengurusan kebun sahaja, sebaliknya diperluas hingga ke rantaian bekalan dan pemasaran hasil.
Depo ini menjadi platform pembelian utama hasil getah di Ulu Tembeling yang meliputi Kampung Bantal, Kampung Mat Daling, Kampung Gusai dan Kampung Kuala Sat, sekali gus merancakkan jualan berkelompok serta meningkatkan kecekapan pemasaran getah.

Berdasarkan rekod tahun 2025, hasil pengumpulan getah di depo ini ialah 106,920 kilogram, dengan harga jualan yang mampu mencecah sehingga RM3.60 sekilogram. Ini membuktikan bahawa pengukuhan sistem penyampaian mampu merangsang pekebun kecil mengurus hasil dengan lebih cekap, memperoleh pulangan lebih baik serta meningkatkan pendapatan serta taraf ekonomi keluarga.
Apa yang lebih penting, segala usaha RISDA ini membawa makna besar dalam mengangkat martabat 508 ribu pekebun kecil di seluruh negara agar terus diperkasa sebagai kelompok penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi desa dan kemakmuran negara melalui sektor komoditi.
Selaras dengan itu, RISDA akan terus memperkukuh agenda Pembeli Getah Utama menerusi syarikatnya, RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) yang mensasarkan peningkatan anggaran purata harga sekitar RM3.00 kepada RM3.70 sekilogram, melalui 181 depo pengumpulan RISDA sedia ada, serta pelaksanaan Pemasaran Getah Bergerak di kawasan yang belum mempunyai kemudahan depo.
Usaha ini memperlihat pemerkasaan peranan RISDA hingga ke pedalaman bukanlah bersifat sementara, sebaliknya menjadi ‘way forward’ agensi dalam membina ekosistem pembangunan pekebun kecil yang holistik, cekap dan mampan.
Melalui sokongan dan dukungan dasar Aspirasi Desa MADANI oleh KKDW, RISDA berada pada landasan terbaik untuk terus memakmurkan komuniti pekebun kecil getah negara, sekali gus mengembalikan Malaysia sebagai pengeluar getah asli dunia. – UTUSAN










