NADI, PKD bakal diselaras perkasa komuniti luar bandar

NADI, PKD bakal diselaras perkasa komuniti luar bandar

FAHMI Fadzil melihat pelajar menjalani pembelajaran selepas merasmikan NADI Telok Mas dan Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI Negeri Melaka di Taman Seri Telok Mas semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Komunikasi meneliti cadangan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menjadikan Pusat Komuniti Desa (PKD) di seluruh negara diaktifkan bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya kini sedang meneliti penyelarasan dan koordinasi aktiviti antara PKD dan NADI bagi memperluaskan manfaat program pembangunan komuniti kepada rakyat di seluruh negara.

Menurutnya, langkah itu susulan permohonan KKDW dalam satu mesyuarat baru-baru ini meminta agar lebih 190 PKD di bawah kementerian berkenaan diaktifkan bersama NADI.

Beliau berkata, kerjasama tersebut diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar untuk memanfaatkan pelbagai program pembangunan digital, pendidikan dan keusahawanan yang ditawarkan melalui NADI.

“Kita sedia untuk mengaktifkan NADI di 190 PKD seluruh negara atas permintaan KKDW dalam satu mesyuarat baru-baru ini dan kita sedang melihat bagaimana penyelarasan serta koordinasi aktiviti boleh dilakukan.

“Ini akan menambahkan lagi peluang untuk rakyat di lebih banyak tempat memanfaatkan program-program NADI,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis perasmian NADI Telok Mas dan Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI Negeri Melaka di Taman Seri Telok Mas di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, antara program yang paling memberi impak kepada masyarakat ketika ini ialah program keusahawanan digital yang dijalankan melalui kerjasama bersama platform TikTok Shop dan Shopee.

Katanya, kerjasama tersebut bukan sahaja memberi pendidikan kepada usahawan tempatan mengenai pemasaran digital, malah membantu meningkatkan jualan dan pendapatan mereka.

“Saya nampak program-program ini banyak membantu masyarakat. Ada beberapa usahawan di sini yang pernah dipanggil menyertai program bersama Shopee dan mereka berjaya meningkatkan pendapatan.

“Malah ada usahawan NADI di Morib yang pendapatannya jauh lebih tinggi daripada seorang menteri,” katanya berseloroh.

Tambah beliau, kejayaan usahawan luar bandar membuktikan seseorang tidak perlu berada di kawasan bandar untuk berjaya dalam bidang perniagaan, sebaliknya peluang ekonomi digital kini terbuka luas kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, usaha memperkasa keusahawanan digital akan terus menjadi antara fokus utama kerajaan dalam meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat setempat melalui platform NADI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN