KUALA LUMPUR: Ketua Badan Penasihat Khas Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd. Hassan Marican dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelantikan itu bertujuan menyelaras usaha kerajaan dalam menangani kesan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Menurut beliau, Mohd. Hassan akan memantau perkembangan semasa serta menilai langkah yang perlu diambil secara harian, selain mengumpul maklum balas berkaitan situasi di rantau berkenaan.
“PPPK turut disokong oleh sekretariat yang dipengerusikan Penasihat Kanan Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hassan.
“Kedua-dua struktur ini akan membantu MTEN yang kini bersidang setiap minggu bagi memastikan penyelarasan maklumat dapat dilakukan secara harian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama membanteras aktiviti penipuan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), di sini hari ini.
Fahmi berkata, peranan pasukan yang dipengerusikan Mohd. Hassan tidak bertindih dengan jawatankuasa khas yang diketuai Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, yang memberi tumpuan kepada pemantauan perkembangan ekonomi semasa.
Katanya, keutamaan utama kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan tenaga dan makanan negara kekal stabil bagi tempoh akan datang.
“Pada masa sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha mengawal harga barangan serta membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api serta makanan,” katanya. – UTUSAN










