LGM sita empat tan sarung tangan getah `reject’, haram

LGM sita empat tan sarung tangan getah `reject’, haram

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat tan sarung tangan getah haram dan sebuah alat penimbang dianggarkan bernilai RM20,000 disita dalam serbuan di sebuah premis di Puchong, Selangor, semalam.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata, serbuan ke atas premis tersebut dibuat kerana dipercayai aktif menjalankan aktiviti membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak (reject) dan sarung tangan getah sekerap tanpa permit.

Tambah LGM, serbuan dijalankan menerusi operasi bersepadu Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) LGM dengan kerjasama Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

“Aktiviti berkenaan, merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, khususnya Peraturan 22(1)(b).

“Tiada seorang pun boleh membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak dan sarung tangan getah sekerap, melainkan jika orang itu memegang suatu Permit PST-G.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.

LGM turut memaklumkan, pihaknya sentiasa mempergiat aktiviti kawal selia industri sarung tangan getah termasuk aspek kualiti selaras dengan kedudukan Malaysia pengeksport sarung tangan getah terbesar dunia.

“Orang awam turut dialu-alukan menyalurkan sebarang aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) LGM di https://lgm.spab.gov.my/eApps/system/index.do,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN