FRANKFURT: Dua syarikat penerbangan terbesar Eropah telah membatalkan ratusan penerbangan susulan lonjakan mendadak kos bahan api yang dicetuskan oleh peperangan di Asia Barat.
Lufthansa pada Jumaat mengumumkan bahawa anak syarikat serantaunya, Lufthansa CityLine, akan menggantung operasi bermula Sabtu ini ekoran harga kerosin yang tinggi dan pertikaian buruh.
Dalam perkembangan berkaitan, KLM turut mengesahkan pembatalan 160 penerbangan bagi tempoh sebulan akan datang atas faktor kos bahan api yang meningkat.
Ketua Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Fatih Birol, memberi amaran bahawa impak krisis ini akan menyebabkan kenaikan harga petrol, gas, serta tarif elektrik, dengan beberapa rantau di dunia bakal menerima kesan yang lebih buruk berbanding kawasan lain.
“Barisan hadapan (yang akan terjejas teruk) adalah negara-negara Asia yang bergantung kepada tenaga dari Asia Barat,” ujar beliau sambil menamakan Jepun, Korea, India, China, Pakistan dan Bangladesh.
Birol menambah bahawa kesan tersebut kemudian akan menjalar ke Eropah dan benua Amerika. Beliau turut memberi amaran jika Selat Hormuz tidak dibuka semula, penduduk Eropah bakal berdepan berita mengenai pembatalan lebih banyak penerbangan domestik dan antarabangsa akibat kekurangan bahan api jet.
Dalam perkembangan lain, Israel dan Lubnan dilaporkan telah bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selama 10 hari bermula tengah malam Khamis atau pukul 5 pagi Jumaat waktu Malaysia.
Bagaimanapun, bagi Lufthansa, tekanan kos tetap memuncak. Syarikat itu menyatakan bahawa pertikaian buruh dan harga bahan api yang tinggi memaksa mereka menutup operasi penerbangan CityLine, lebih awal daripada yang dirancang.
Langkah itu melibatkan penamatan perkhidmatan 27 pesawat lama yang dianggap tidak cekap dalam penggunaan bahan api.
Sebelum ini, peranan utama CityLine adalah untuk membawa penumpang ke hab jarak sederhana dan jauh Lufthansa di Frankfurt dan Munich. -AGENSI










