Apa sudah jadi di Eropah? - Utusan Malaysia

Apa sudah jadi di Eropah?

PROTES besar-besaran golongan muda mencetuskan persoalan sama ada suara mereka didengari oleh kerajaan di Eropah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Protes besar-besaran melanda Eropah susulan bantahan terhadap peningkatan kos sara hidup dan kemerosotan perkhidmatan awam, dengan polis bersiap siaga menghadapi kemungkinan keganasan selepas insiden rompakan serta rusuhan baru-baru ini.

Jerman, Perancis, Sepanyol dan Itali antara negara maju yang menyaksikan demonstrasi sempena sambutan Halloween, susulan gelombang perhimpunan yang di­terajui Generasi Z di seluruh benua itu sejak kebelakangan ini.

Pegawai Perancis berkata, seramai 70,000 anggota polis akan dikerahkan pada Sabtu selepas negara itu dilanda antara rusuhan terburuk dalam beberapa dekad. Protes itu tercetus di beberapa bandar susulan bantahan pelajar terhadap keadaan sistem pendidikan sebelum berkembang menjadi demonstrasi lebih meluas mengenai kos sara hidup dan keselamatan sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika demonstrasi bermula di Paris pada petang Sabtu, penunjuk perasaan dilihat membawa sepanduk bertulis ‘Kami tidak memerlukan gas pemedih mata untuk menjadikan masa depan kami suram’.

Kementerian Dalam Negeri Perancis menganggarkan kira-kira 320,000 orang menyertai demonstrasi di seluruh negara pada Sabtu, termasuk 70,000 di Paris. Pihak berkuasa melaporkan lebih 560 tangkapan dilakukan di seluruh negara menjelang malam.

Walaupun kebanyakan demonstrasi berlangsung secara aman, polis menahan 1,300 orang ming­gu lalu selepas kira-kira 410,000 orang turun ke jalanan di beberapa bandar. Kedai, bangunan awam dan premis perniagaan turut mengalami kerosakan sejak protes tercetus bulan lalu.

Protes di Perancis bermula selepas Perdana Menteri, Emmanuel Macron memulakan rundingan belanjawan bagi 2027. Pelajar yang tidak berpuas hati dengan kemerosotan sistem pendidikan dan kos sara hidup yang tinggi kemudian turun ke jalanan.

Mereka kemudian disertai kesatuan sekerja dan kumpulan Yellow Vest, iaitu gerakan akar umbi yang muncul pada 2018 sebagai bantahan terhadap cukai bahan api.

Demonstrasi itu dilihat mencetuskan inspirasi kepada gerakan serupa di seluruh benua ber­kenaan, dengan protes turut berlaku di Belgium, Sepanyol, Itali dan beberapa negara lain.

Kumpulan kempen Gen Z Re­gelt atau bermaksud Gen Z di Jerman mengambil tindakan meng­anjurkan demonstrasi di lebih 30 bandar kelmarin, termasuk ibu negara Berlin dan pusat kewangan Frankfurt.

Kumpulan itu menuntut pe­ningkatan peruntukan untuk sekolah, perlindungan iklim dan perumahan, selain membantah rancangan mengembalikan khidmat ketenteraan wajib. Walaupun kebanyakan perhimpunan berlangsung secara aman, beberapa demonstrasi bertukar ganas pada waktu malam.

“Kami golongan muda yang tidak lagi mahu berdiam diri dan hanya melihat keputusan mengenai masa depan kami dibuat tanpa suara kami didengari,” menurut kenyataan kumpulan itu yang menyifatkan dirinya sebagai gabungan bukan partisan.

Pakar gerakan bantahan, Christian Volk berkata, Jerman berpotensi menyaksikan gelombang bantahan besar-besaran.

“Terdapat tekanan yang amat besar dan semakin memuncak,” kata Volk dari Universiti Humboldt Berlin kepada AFP.

Beliau berkata, golongan muda menuntut supaya pengalaman politik dan harapan mereka terhadap masa depan turut didengar.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat perbezaan ketara dengan Perancis yang mempunyai tradisi yang sama sekali berbeza dalam pendekatan demonstrasi secara konfrontasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini