NIBONG TEBAL : Calon yang memiliki kredibiliti tinggi diyakini mampu memimpin kawasan Sungai Bakap ke arah kemajuan yang lebih baik.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, oleh itu, pengundi diseru untuk memilih calon yang berpengetahuan dan berwatak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung 6 Julai ini.
Katanya, calon PH, Dr. Joohari Ariffin adalah calon terbaik dan kompeten yang dipertaruhkan, malah, mempunyai latar belakang pendidikan tinggi.
“Calon yang kita tampilkan ini bukan calang-calang. Mesej beliau yang baik, berotak (berpengetahuan) dan berwatak ini kena sampai kepada masyarakat.
“Kredibiliti yang ditonjolkan Joohari serta pengalaman urus pendidikan melebihi 30 tahun menjadi bukti beliau mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Saya sebagai Menteri Pendidikan risau, kalau calon ini terus dipertikaikan kerana kita sedang membina generasi yang benar-benar mengangkat isu pendidikan ini sebagai isu yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah Perpaduan di Taman Jawi Indah di sini, malam tadi.
Terdahulu, Fadhlina ketika ditemui selepas melawat Pusat Media PRK DUN Sungai Bakap di Kompleks Rakan Muda, di sini malam tadi berkata, PRK kali ini sememangnya menjadi tumpuan ramai dan gerak kerja jentera gabungan Kerajaan Perpaduan, iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjalan lancar.
“Penerimaan rakyat terhadap kempen-kempen yang dilaksanakan calon khususnya menunjukkan kesan sangat positif malah diterima baik oleh semua,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr. Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.
Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi tersebut, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.-UTUSAN










