PETALING JAYA: Semua sekolah di seluruh negara hanya akan ditutup apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan paras melebihi 200 manakala aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan apabila IPU melebihi 100.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat susulan penegasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bahawa pengurusan jerebu perlu dibuat berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).
Susulan itu, katanya, KPM telah memulakan penyelarasan tatacara pengoperasian sekolah berpandukan PTJH bagi memastikan keputusan dibuat secara lebih tersusun berdasarkan penilaian semasa termasuk IPU dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Melalui penyelarasan ini, aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala penutupan sekolah dilaksanakan apabila bacaan IPU melebihi 200, selaras dengan ketetapan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“Kita perlu memahami bahawa bacaan IPU boleh berubah dalam tempoh yang singkat. Penutupan sekolah untuk beberapa hari lebih awal tanpa mengambil kira perubahan ini boleh menyebabkan anak-anak kehilangan masa pembelajaran walaupun kualiti udara telah kembali pulih,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya semalam.
Fadhlina berkata, beliau memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak masing-masing khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau lebih sensitif terhadap pencemaran udara.
Justeru, beliau berkata, ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang akan kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang tempoh jerebu dengan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.
“KKM turut memberikan pandangan mengenai langkah perlindungan kesihatan, termasuk penggunaan pelitup muka ketika jerebu. Langkah pencegahan seperti ini penting bagi melindungi kesihatan anak-anak.
“Keselamatan dan kesihatan anak-anak tetap menjadi keutamaan kita. Namun, setiap hari persekolahan juga mempunyai nilai yang besar terhadap perkembangan dan pembelajaran mereka.
“Saya berharap penyelarasan ini dapat memberikan lebih kepastian kepada ibu bapa, mengurangkan kesulitan yang dihadapi dan memastikan setiap keputusan pengoperasian sekolah dibuat dengan mengambil kira kesihatan serta kelangsungan pendidikan anak-anak secara seimbang,” katanya. – UTUSAN











