PETALING JAYA: Penutupan sekolah akibat jerebu perlu mengambil kira keadaan semasa di setiap kawasan memandangkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh berubah mengikut masa dan lokasi.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, namun pihaknya akan memastikan keputusan penutupan sekolah akibat jerebu dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persediaan.
Beliau berkata, pihaknya memahami keresahan ibu bapa yang mencadangkan supaya sekolah ditutup untuk beberapa hari bagi memudahkan urusan keluarga.
“Saya mengikuti pelbagai pandangan ibu bapa berhubung keputusan penutupan sekolah akibat jerebu yang diumumkan dari hari ke hari. Ada yang mencadangkan supaya sekolah ditutup terus untuk beberapa hari bagi memudahkan urusan keluarga.
“Dalam membuat keputusan ini, kita perlu memahami bahawa bacaan IPU boleh berubah mengikut masa dan lokasi. Justeru, penutupan sekolah perlu mengambil kira keadaan semasa di setiap kawasan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pengurusan jerebu turut membabitkan peranan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memantau kualiti udara dan menangani pencemaran, manakala Kementerian Kesihatan memberikan panduan berkaitan risiko kesihatan kepada masyarakat.
Katanya, Kementerian Pendidikan pula memberi tumpuan kepada keselamatan murid dan pengurusan operasi sekolah berdasarkan keadaan semasa.
Fadhlina berkata, pengalaman pandemik Covid-19 turut menunjukkan kesan gangguan persekolahan terhadap pembelajaran murid, termasuk usaha menangani keciciran pembelajaran yang masih diteruskan sehingga kini.
“Tempoh pembelajaran yang hilang bukan mudah untuk diganti, apatah lagi kemudahan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tidak sama bagi setiap murid,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelajar di asrama disarankan untuk terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu selagi keadaan selamat dan kebajikan mereka terjamin.
Katanya, langkah itu bagi mengelakkan ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan terus memantau keadaan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), selain menambah baik penyampaian maklumat kepada ibu bapa.-UTUSAN











