NIBONG TEBAL : Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang telah mengeluarkan notis pemberhentian operasi serta-merta terhadap kerja-kerja di sebuah kilang pembuatan kotak di sini.
Ia susulan penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam kolam fiber kertas semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, mangsa yang berusia 41 tahun maut ketika sedang menjalankan kerja-kerja mencuci paip yang tersumbat dalam kolam di kilang pembuatan kotak itu.
Katanya, notis pemberhentian operasi serta-merta itu berkuat kuasa sehingga siasatan kes tersebut selesai dijalankan.
“Kami juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKKP Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Hairozie, siasatan awal yang dijalankan mendapati, mangsa telah bertindak turun berseorangan ke dalam kolam untuk menjalankan kerja-kerja mencuci paip yang tersumbat selepas ia tertangguh hampir dua minggu.
“Mangsa dilaporkan tidak dapat dikesan dan penyelia bersama dengan beberapa orang pekerja berusaha mencari lelaki itu. Semakan kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di situ bagaimanapun menunjukkan bahawa mangsa telah masuk ke dalam kolam kira-kira pukul 3.38 petang semalam.
“Pada pukul 10.40 malam, mangsa telah dijumpai, namun, telah meninggal dunia di tempat kejadian. Ekoran itu, sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP telah lokasi bagi menjalankan siasatan,” katanya.
Tambah Hairozie, JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti selain mengadakan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan serta pencegahan diambil.
Dalam pada itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terjamin.
Hal ini demikian kerana, mereka mempunyai kawalan penuh terhadap sebarang aktiviti di tempat kerja serta perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.
“JKKP Pulau Pinang memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor malah pihaknya juga sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini,” katanya.-UTUSAN









