GEORGE TOWN : Semua aktiviti atau kerja-kerja pembinaan di tingkat bawah sebuah bangunan di Jalan Guar Perahu Indah, Bukit Mertajam yang runtuh sehingga meragut nyawa seorang pekerja Indonesia petang semalam telah diarah untuk dihentikan serta-merta.
Jurucakap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang berkata, susulan insiden itu juga, beberapa saksi serta wakil majikan telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan awal mendapati, kerja-kerja pengubahsuaian premis tersebut sedang dijalankan oleh sebuah syarikat kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan kerja perobohan dan pengubahsuaian dalaman premis berkenaan ketika kejadian itu berlaku.
“Semasa kejadian, pekerja terlibat sedang menggunakan peralatan perobohan bagi memecahkan struktur dinding sebelum dinding tersebut tumbang dan menghempap mangsa. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Difahamkan, siasatan dijalankan di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) bagi mengenal pasti punca kejadian serta menentukan sama ada terdapat pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu katanya, semua majikan, kontraktor dan pihak yang mempunyai kawalan ke atas tempat kerja diingatkan supaya sentiasa menjalankan pentaksiran risiko yang mencukupi sebelum memulakan sebarang kerja perobohan.
“Pada masa yang sama, mereka juga mesti memastikan kaedah kerja selamat dilaksanakan serta menyediakan penyeliaan yang berkesan bagi mengelakkan kemalangan yang boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian,” katanya.
Tambah beliau, JKKP Pulau Pinang komited untuk memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan sentiasa dipatuhi bagi melindungi keselamatan dan kesejahteraan semua pekerja di negara ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, mangsa yang dikenali sebagai Marzuki, 27, berjaya dikeluarkan oleh orang awam daripada kawasan runtuhan sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bomba.
Ketika dijumpai, mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.-UTUSAN










