Syarikat didenda RM120,000 selepas dua pekerja disahkan hilang pendengaran

Syarikat didenda RM120,000 selepas dua pekerja disahkan hilang pendengaran

JKKP Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Sebuah syarikat yang terlibat dalam sektor pengilangan didenda sebanyak RM120,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal melaksanakan kawalan kejuruteraan bagi pendedahan bising di tempat kerja.

Hakim Roslan Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas majikan syarikat terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan yang dibuat di bawah Seksyen 18B(2), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

Berdasarkan fakta kes, majikan tersebut didapati telah gagal melaksanakan kawalan kejuruteraan bising seperti yang diarahkan oleh Penaksir Risiko Bising termasuk memasang penghadang fizikal (noise barrier) di bahagian operasi mesin.

Kegagalan itu juga telah mengakibatkan dua orang pekerja syarikat tersebut mengalami masalah hilang pendengaran atau Noise Induced Hearing Loss (NIHL) yang disahkan oleh pegawai kesihatan pekerjaan, berpunca daripada pendedahan kepada bising industri.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 18B, syarikat terbabit boleh dikenakan penalti sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Abdul Rahim Sabri manakala siasatan kes dijalankan oleh pegawai penyiasat, Ir. Abdul Hafiz Ahmad dan Norfaiza Fadil.

Sementara itu, JKKP Pulau Pinang memaklumkan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi kehendak perundangan keselamatan serta kesihatan pekerjaan di negeri ini.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk semua pekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN