GEORGE TOWN : Seorang pekerja lelaki warganegara asing maut selepas terjatuh dari ketinggian 5.2 meter ke lantai di sebuah kilang pembuatan di Perai dalam kejadian pada 25 Julai lalu.
Menurut jurucakap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, pekerja lelaki berumur 21 tahun itu terjatuh ketika sedang menjalankan aktiviti pemasangan anak tangga di kilang tersebut.
“Sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kejadian itu.
“Daripada siasatan awal yang dijalankan, mangsa merupakan pekerja kontraktor yang dilantik oleh kilang tersebut untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan tangga bagi kawasan naik taraf bangunan di kilang tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa dilaporkan naik ke platform setinggi 5.2 meter itu dengan menggunakan kren pengangkat untuk mengetatkan skru sebelum tergelincir dan terjatuh ke lantai.
“Mangsa kemudiannya telah dikejarkan ke hospital berdekatan dan dilaporkan meninggal dunia di hospital pada 27 Julai (Sabtu lalu). Sehubungan itu juga, satu notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.
Tambahnya, pihak jabatan juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan, dan membuat pembentangan kes kepada jabatan.
”Pihak JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti dan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.
”Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya.
Selain itu, katanya, majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.
”Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.
”Jabatan memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor. Jabatan sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini,” katanya.-UTUSAN








