BUKIT MERTAJAM : Seorang pemandu lori warga emas maut selepas tersepit antara rak besi dan lori di sebuah kilang pembuatan di sini, kira-kira pukul 9 pagi, kelmarin.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 64 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa didapati bekerja sebagai pemandu lori di kilang tersebut.
“Sebelum kejadian, mangsa telah menghidupkan enjin lori untuk memulakan kerja harian. Ketika enjin lori tersebut dihidupkan, dia bagaimanapun hanya membuka pintu lori tanpa memasuki ruang pemandu.
“Lori berkenaan (secara tiba-tiba) kemudian telah bergerak ke hadapan sebaik sahaja enjin dihidupkan dan mengakibatkan mangsa tersepit antara lori dan rak besi yang berada bersebelahan dengan lori tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Pihak jabatan (JKKP Pulau Pinang) juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah penambahbaikan dan membuat pembentangan kes kepada Jabatan.
“Kita akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti. Lawatan susulan ke premis majikan pula akan dibuat selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil,” katanya.
Dalam pada itu, Hairozie berkata, di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
“Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.
“Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.
“Dalam hal ini, Jabatan memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor. Jabatan sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini,” katanya.-UTUSAN








