Pekerja asing maut terjatuh ketika baiki alang bumbung

Pekerja asing maut terjatuh ketika baiki alang bumbung

JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pekerja asing maut selepas terjatuh dari ketinggian 12 meter ketika sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan alang dan bumbung di sebuah kilang pembuatan di Perai, di sini, semalam.

Jurucakap Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang memaklumkan, sepasukan pegawai penyiasat bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan berhubung kemalangan terbabit.

“Siasatan awal mendapati, mangsa adalah pekerja kontraktor yang dilantik kilang terbabit untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan alang dan bumbung.

“Sebelum kejadian, mangsa bersama tiga pekerja lain sedang menjalankan kerja-kerja mengetatkan nat pada alang besi di kawasan kemalangan terbabit.

“Mangsa kemudiannya dikatakan telah terjatuh dari ketinggian 12 meter dan telah dikejarkan ke hospital berdekatan sebelum dilaporkan meninggal dunia,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, susulan kejadian itu, JKKP telah mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Selain itu, pihak majikan juga diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan, dan membuat pembentangan kes kepada pihak jabatan.

“Siasatan susulan akan dilaksanakan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti dan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil,” katanya.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Jabatan (JKKP) memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor dan sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN