Kerajaan dukung prinsip bebas ekspresi karya

Kerajaan dukung prinsip bebas ekspresi karya

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan barisan pelakon filem Sheriff: Narko Integriti ketika hadir menonton tayangan khas filem itu di IOI City Mall, Putrajaya, malam semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan bertegas tidak campur tangan dalam soal kreativiti penggiat karya anak-anak seni.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kekal mendukung prinsip kebebasan berekspresi menerusi karya yang diketengahkan.

“Malam tadi (semalam) saya dan Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) berpeluang menonton tayangan khas filem Sheriff: Narko Integriti dalam program anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di GSC IOI Mall, Putrajaya.

“Saya terkesan tatkala filem ini menjadikan isu integriti, ra­suah dan salah guna kuasa sebagai tema utama.

“Saya sambut baik usaha murni pihak pembikin filem ini yang menyambut ketegasan kerajaan dalam mendepani masalah ra­suah dan kelemahan tatakelola,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Perdana Menteri juga kagum dengan mutu perfileman yang membanggakan dan yakin industri tempatan berupaya bersaing, tidak hanya di rantau ini malah di peringkat antarabangsa.

“Sekalung tahniah buat pasukan penyutradaraan, para pelakon, penerbit serta semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem Sheriff: Narko Integriti,” katanya.

Terdahulu, Anwar bersama lebih 600 orang termasuk kenamaan dan anggota penguat kuasa menonton tayangan khas filem itu yang dianjurkan EAIC dengan kerjasama SKOP Productions dan Astro Shaws.

Sesi tayangan khas itu diserikan dengan kehadiran pelakon utama filem berkenaan iaitu Zul Ariffin, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan Kamal Affendi Hashim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN