KLANG: Hampir 10,000 liter arak dalam pelbagai bentuk bungkusan serta 2,500 pokok bonsai dirampas pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) dalam pemeriksaan terhadap sebuah kontena biasa dan tiga buah kontena sejuk beku di Pelabuhan Klang, pada 30 Mei lalu.
Kesemua arak dirampas itu disorokkan di sebalik kotak-kotak bungkusan sayur-sayuran yang dipercayai tidak mempunyai permit import dan kesemuanya dirampas dekat Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara.
Cubaan seludup arak itu melibatkan cubaan mengelak jumlah cukai dikenakan sebanyak RM167,500 dan nilai dagangan hampir RM50,000.
Turut dirampas adalah 2,500 batang pokok bonsai bernilai kira-kira RM200,000 yang diikrar sebagai ‘Ornamental Plants’ bagi mengelak daripada dikesan.
Ketua Penolong Pengarah JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pada hari tersebut pasukannya menahan kontena bersaiz 40 kaki itu dan hasil pemeriksaan mendapati minuman keras berkenaan disorokkan dekat bahagian belakang.
“Modus operandinya, sindiket membuat pengikraran tidak benar. Dagangan diikrar sebagai ‘Fresh Vegetables’ (Sayuran Segar) melalui Borang Kastam 1 bagi mengelak daripada dikesan oleh JKDM.
“Di Pelabuhan Utara, sebuah kontena yang ditahan sebelum itu melalui mesin pengimbas di Unit Mesin Pengimbas Cawangan Zon Bebas Pelabuhan Utara dan hasilnya menunjukkan imej meragukan. JKDM turut menahan seorang wanita warga tempatan berusia 50-an bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, minuman keras adalah barang larangan yang mana pengimportnya atau transit ke atasnya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import seperti yang dijelaskan di bawah Butiran 67, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Tambah Norlela, bagi rampasan pokok bonsai pula dibuat selepas JKDM mengesan sebuah kontena yang membawa 2,500 batang pokok yang diikrarkan sebagai ‘Ornamental Plants’ melalui Borang Kastam 4 Manifes bagi mengelak daripada dikesan.
“Kesemya kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda sehingga 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 hingga RM500,000 mengikut mana lebih tinggi atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya. – UTUSAN










