Hilang wang RM24.2 juta: 13 individu termasuk empat kakitangan bank ditahan

Hilang wang RM24.2 juta: 13 individu termasuk empat kakitangan bank ditahan

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 13 individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang daripada empat akaun simpanan tetap sebuah bank berjumlah RM24.2 juta.

Penahanan terbaharu melibatkan lima individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lima tangkapan terbaru dibuat di Sabah terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

Beliau berkata, 13 suspek keseluruhan yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita berusia antara 22 tahun hingga 53 tahun.

“Daripada jumlah itu, 12 orang ditahan di Sabah dan seorang ditahan di Perlis. Empat daripada mereka yang ditahan pula adalah kakitangan bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, 11 suspek direman sehingga Jumaat ini dan seorang lagi suspek sehingga esok, manakala seorang lagi suspek sudah dibebaskan dengan jamin polis.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, tiga termasuk dalang utama yang terlibat berhubung kes kehilangan wang tunai bernilai RM24.2 juta ditahan.

Menerusi tangkapan terbaharu itu, seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah antara diberkas selepas menjadi perancang utama bersubahat dengan pegawai bank bagi menjalankan kegiatan itu.

Modus operandi sindiket ini adalah dengan melalukan pakatan antara sindiket dan juga kakitangan bank yang ditahan.

Mereka (ahli sindiket) akan berurusan di kaunter setelah mendapat kerjasama pengurus bank yang berpakat dengan mereka bagi mengeluarkan kesemua wang berkenaan.

Pada 15 Jun lalu, media melaporkan seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM 24.2 juta.

Melalui serbuan yang dijalankan, PDRM turut merampas tiga unit telefon bimbit beserta kad sim, lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, wang tunai RM 4,400 dan sebuah komputer riba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN