Dr. Joohari mahu fokus masalah prasarana di Sungai Bakap

Dr. Joohari mahu fokus masalah prasarana di Sungai Bakap

DR JOOHARI Ariffin mengangkat tangan selepas menyerahkan borang penamaan calon sempena PRK bagi kerusi DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin mahu kekal fokus akan permasalahan prasarana yang didepani oleh penduduk setempat sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Beliau berkata, penekanan terhadap isu prasarana itu antara lain melibatkan masalah berkaitan bekalan air, banjir serta isu kerosakan jalan raya yang membelenggu penduduk serta memerlukan perhatian segera.

“Itu adalah aspirasi yang diutamakan susulan isu prasarana ini sering menjadi masalah kepada masyarakat kita.

“Justeru, dengan sokongan padu penyokong serta pimpinan Kerajaan Perpaduan, saya berkeyakinan bahawa kita akan kembali ke Dewan Negeri (sebagai wakil rakyat) sekali gus berupaya menyelesaikan isu setempat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Joohari bakal berdepan dengan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal, Abidin Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan ‘satu lawan satu’ pada PRK berkenaan.

Mengulas lanjut, Joohari yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu turut berazam untuk bekerja kuat sekali gus merealisasikan hasrat dalam menjaga kebajikan penduduk Sungai Bakap.

“Saya mempraktikkan tiga ‘A’ iaitu akhlak, akademik dan anak muda di samping damai di mana saya akan cuba pastikan pada peringkat ini kita usaha untuk melaksanakan kempen politik berakhlak.

“Pendidikan juga amat penting, justeru saya ingin menyeru buat anak muda terutamanya supaya usah menerima sebarang berita bulat-bulat.

“Contohnya, kita bercakap sehingga satu jam setengah, tetapi konteks dalam 30 hingga 40 saat di mana bahagian yang ada kelemahan itu lah yang diperbesarkan menyebabkan membangkitkan rasa marah, bukannya membina pemikiran manusia. Itu kita kena jaga,” katanya.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap terpaksa diadakan berikutan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat penyakit keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal sebelum itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bagi kerusi tersebut Ogos lalu selepas menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose daripada PKR dengan majoriti 1,563 undi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN