NIBONG TEBAL : Setiap parti politik yang berada di bawah Kerajaan Perpaduan telah diberikan tugas yang tertentu ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ini.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dalam hal ini, mereka perlu mengikut arahan pimpinan atas bagi memastikan kempen berjalan dengan lancar.
“Bagi Amanah, kami bertumpu di Sungai Duri (Pusat Daerah Mengundi atau PDM Sungai Duri). Di situ banyak pengundi Melayu. Jadi, kami (ditempatkan untuk berkempen) di situ,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika ditanya mengapa jentera Amanah tidak begitu ‘menonjol’ pada kempen PRK di Sungai Bakap ini.
Terdahulu, beliau meluangkan masa menghadiri program Jom Masak Menu Sihat Citarasa Peladang @ Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tasek di Simpang Ampat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, seperti jentera lain di Bawah Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Perpaduan, parti Amanah juga turun padang untuk berkempen bagi calon PH.
“Ya (turun). Kami juga pergi dari rumah ke rumah, ada ceramah kelompok, (program) khidmat masyarakat dan lain-lain,” jelas beliau.
Ditanya mengenai perkembangan kempen tersebut pula, Mohamad bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Saya tak boleh bagi kenyataan lagi. Cuma, kita harap peratus mengundi nanti (pada 6 Julai) tinggi,” ujarnya.
Calon PH, Dr. Joohari Ariffin akan ditentang oleh calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Abidin Ismail dalam saingan ‘satu lawan satu’ pada PRK berkenaan.
Pilihan raya itu terpaksa diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.-UTUSAN









