GEORGE TOWN : Sektor pertanian dijangka diberi perhatian pada sesi pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini berikutan jangkaan berlakunya fenomena El Nino tidak lama lagi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini juga, kerajaan telah membuat persiapan awal untuk menghadapi kemungkinan berlakunya cuaca panas melampau itu yang diramal bermula sekitar akhir tahun ini.
Beliau berkata, dalam hal ini, kementeriannya juga terlibat secara langsung iaitu untuk mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar berkaitan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta sains dan teknologi bagi mencari kaedah terbaik untuk menghadapi perubahan cuaca ekstrem tersebut.
“Oleh itu, saya agak bahawa kita (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) ada kelebihan sedikit untuk mendapat peruntukan daripada kerajaan (semasa pembentangan Belanjawan 2027) disebabkan fenomena El Nino ini yang suhunya dijangka boleh mencecah sehingga 40 darjah Celcius.
“Ini keadaan yang perlu kita hadapi. Begitu juga dengan masalah debu teruk (jerebu) serta kekurangan bekalan air (akibat fenomena berkenaan),” katanya ketika berucap pada satu majlis makan malam di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, di bawah kementeriannya ketika ini, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai contoh sudah mengemukakan satu laporan mengenai langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan kesan daripada fenomena El Nino itu.
“Ya, MADA sudah menjalankan kajian mengenai kesan yang mungkin berlaku akibat daripada fenomena itu dan laporan mengenainya juga sudah dihantar (kepada pihak kementerian).
“Antara langkah atau persiapan yang diberi keutamaan ialah dari segi penyimpanan air. Pertama, bekalan air untuk kegunaan perlu diutamakan, diikuti penyimpanan air di kawasan yang boleh dijadikan takungan dan sebagainya.
“Pada masa yang sama, sistem saliran juga perlu diberi perhatian dalam menangani kesan akibat daripada cuaca panas yang melampau ini,” ujar beliau.-UTUSAN











