KANGAR: Aktiviti sindiket penyeludupan diesel yang berulang-alik membawa keluar minyak dari negara ini ke Bangkok setiap hari terbongkar menerusi pemeriksaan ke atas sebuah treler di laluan eksport Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 24 April lalu.
Berdasarkan pemeriksaan pada kira-kira pukul 9.30 pagi ke atas treler bernombor pendaftaran Thailand itu juga membawa kepada penemuan tangki tambahan berisi cecair disyaki diesel berjumlah 1,920 liter dengan anggaran nilai sekitar RM4,128.
Kastam negeri turut menahan seorang lelaki warganegara Thailand berusia 40 tahun bagi membantu siasatan.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, siasatan mendapati sindiket itu sanggup berulang-alik ke Bangkok setiap hari bagi membawa bekalan diesel terbabit yang dibeli dari stesen minyak di negara ini untuk diseludup keluar.
Katanya, pemandu treler itu didapati tidak mengikut ketetapan pengisian diesel yang dibenarkan berikutan cecair berkenaan diisi di dalam kompartmen tangki berasingan dan menampakkan wujudnya unsur-unsur penyeludupan.
“Di Perlis memang terdapat dua buah stesen minyak tanpa subsidi, namun syarat pengisian cecair berkenaan tidak dibenarkan diisi dalam bahagian kompartmen berasingan.
“Kita juga masih menyiasat sama ada cecair ini adalah diesel bersubsidi atau sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam negeri di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, Kastam negeri turut berjaya mematahkan cubaan menyeludup cecair dipercayai diesel dalam dua kes berasingan di Kompleks ICQS Padang Besar pada 24 April lalu membabitkan rampasan berjumlah 81 liter dengan nilai sebanyak RM174.15.
Katanya, menerusi kejayaan itu, pihaknya turut menahan dua lelaki warga Thailand masing-masing berusia 34 dan 44 tahun yang merupakan pemandu kenderaan bagi kedua-dua kes tersebut.
“Walaupun nilai rampasan bagi kes ini kecil, namun ia dibimbangi akan menjadi semakin berleluasa jika tindakan penguatkuasaan tidak diambil.
“Bagi ketiga-tiga kes ini, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda barang atau RM50,000, amaun mana lebih besar dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000, amaun mana lebih besar atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Ismail berkata, Kastam negeri merampas 154 botol minuman keras dipercayai tidak berkastam dianggarkan bernilai RM616 melibatkan cukai sebanyak RM876.84 sewaktu pemeriksaan sebuah kereta jenis Proton Wira di Kompleks ICQS Padang Besar pada 6 Mei lalu.
Katanya, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menyorokkan minuman keras berkenaan di tempat tersembunyi dalam kenderaan terbabit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Seorang wanita warganegara Malaysia berusia 43 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN










