ALOR SETAR: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengangkut 16 migran yang diseludup menggunakan dua kenderaan di Plaza Tol Jitra arah Selatan, dekat sini, bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh, K. Karupaya, 47, dan P. Thinagaran, 43, yang masing-masing bekerja sebagai peniaga kantin dan penyelia tapak mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Karupaya didakwa telah mengangkut 11 orang migran yang diseludup menggunakan kenderaan jenis Hyundai Starex berwarna putih di Plaza Tol Jitra arah Selatan, Jitra, kira-kira pukul 4 pagi, 14 Januari lalu.
Sementara Thinagaran pula didakwa telah mengangkut lima migran yang diseludup menggunakan kenderaan jenis Perodua Aruz berwarna kelabu, di lokasi dan pada waktu serta tarikh yang sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya.
Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan kes akan disebut semula untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 April depan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien, sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Akhbar ini pada 17 Januari lalu melaporkan tindakan seorang bapa membawa anak perempuan berusia 16 tahun untuk mengangkut 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang diseludup masuk ke negara ini mengundang padah apabila mereka dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) di Plaza Tol Jitra.
Turut ditahan dalam Op Taring Delta kira-kira pukul 4 pagi itu ialah seorang lagi lelaki berusia lingkungan 40-an. – UTUSAN










