AKPS sita lima kontena terbiar bawa e-waste, sampah

AKPS sita lima kontena terbiar bawa e-waste, sampah

Kontena e-waste
NIK Ezanee Mohd. Faisal (dua, kiri) melihat peralatan komputer antara e-waste yang diseludup dalam dua kontena dekat Pelabuhan Barat, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dua daripada lima kontena cetus curiga selepas terbiar di Pelabuhan Barat, di sini sejak dua tahun lalu membongkar kegiatan penyeludupan sisa elektronik atau e-waste.

Ia dibiar terlalu lama susulan maklumat penerima tidak lengkap dan masih dalam siasatan dan ia dikesan di bawa masuk sekitar 2024 dan tahun lalu itu dikesan membawa e-waste.

Selain itu, tiga lagi kontena dikesan membawa berisi kabel wayar hancur dan sampah industri atau komersial, berat keseluruhan sisa yang dibawa oleh kelima-lima kontena berkenaan adalah 125 tan metrik.

Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, dua kontena tersebut membawa buangan terjadual (SW110) seperti mesin pencetak, peralatan komputer dan komputer terpakai yang dihancurkan.

“Dua kontena yang membawa e-waste ini diisytiharkan sebagai ‘aluminium alloy post decoration’, dengan negara asal masing-masing dari Amerika Syarikat dan Sepanyol.

“Tiga lagi kontena, dua daripadanya dikesan membawa wayar yang dihancurkan iaitu buangan terjadual (SW422) dan satu kontena membawa sampah industri atau komersial,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau menambah, setakat ini hanya satu atau dua penerima dikenal pasti, manakala selebihnya masih dalam siasatan.

Jelasnya, kesemua kontena tersebut dibawa masuk ke Pelabuhan Barat sekitar 2024, 2025 dan terkini pada 24 Januari lalu dengan memalsukan ikrar dagangan.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967 berkaitan dengan kesalahan serius membabitkan pemalsuan dokumen dan perbuatan fraud (penipuan) untuk mengelak duti kastam atau larangan import dan eksport.

“Didapati satu kontena tiada dalam rekod sistem maklumat kastam bermakna kontena tersebut tidak diikrar untuk masuk ke dalam negara Malaysia. Kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” tegasnya.

Kata Nik Ezanee lagi, penilaian nilai rampasan masih belum dapat dibuat kerana perlu menunggu keputusan analisis daripada Jabatan Alam Sekitar.

“Sampel buangan telah diambil untuk analisis lanjut dan AKPS kini turut memantau beberapa kontena lain yang dikenal pasti berisiko bagi tindakan susulan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN