Serangan pemain bola sepak: Jangan timbulkan spekulasi kaitkan Istana

Serangan pemain bola sepak: Jangan timbulkan spekulasi kaitkan Istana

RAZARUDIN Husain dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi sehingga mengaitkan pembabitan ‘istana’ dalam kes serangan terhadap tiga pemain bola sepak negara yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sehingga kini Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih menyiasat motif sebenar kejadian serangan dan samun terhadap Akhyar Rashid, Faizal Halim dan Safiq Rahim.

Beliau berkata, dakwaan ditimbulkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial yang seolah-olah sudah mengetahui motif kejadian dengan fitnah adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Bila ada yang menyebut kononnya ada pembabitan pihak istana dalam kes ini, ini adalah benda-benda yang tidak sepatutnya berlaku disebabkan kita (polis) sendiri belum dapat motif yang sebenar.

“JSJ juga masih lagi sedang bertungkus-lumus ke arah perkara itu dan petang tadi Pengarah JSJ, Datuk Seri (Mohd.) Shuhaily (Mohd. Zain) sendiri sudah turun ke lokasi kejadian serangan terhadap Faizal di Damansara,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2024, di sini.

Terdahulu, bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal Halim mengalami kecederaan teruk di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang Ahad lalu.

Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain sensasi kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu, Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain tersebut mengalami kecederaan.

Terbaharu, bekas ketua pasukan bola sepak negara, Safiq Rahim diserang dua lelaki menaiki motosikal sebelum memecahkan cermin belakang kereta dipandunya menggunakan tukul.

Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam semalam ketika Safiq berada di Jalan Sri Gelam menghala ke Pantai Lido, kereta Honda City.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, beliau meminta Pengarah JSJ sendiri turun ke lokasi kejadian untuk meninjau dan menyusun semula siasatan dengan keterangan yang sudah diperoleh sebelum ini.

“Kes ini memang kita ambil serius sehinggakan Pengarah (JSJ) sendiri turun untuk tentukan supaya siasatannya berjalan lancar,” katanya.

Pada masa sama, Razarudin menafikan ada tangkapan ketiga membabitkan kes Faizal seperti yang ditularkam oleh pengendali sebuah Telegram dikenali sebagai Edisi Siasat (ES) sebelum ini.

Beliau juga meminta supaya mana-mana individu atau pemain bola yang merasakan dirinya diekori atau diintip supaya terus menghubungi polis bagi melaporkan kejadian.

“Seperti diarahkan oleh Menteri (Dalam Negeri) sebelum ini, memang polis ada tingkatkan keselamatan tetapi untuk menjaga 24 jam kita tidak mampu, jadi kalau ada rasa seperti orang mengekori atau mengintai hubungi polis,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN