HULU SELANGOR: Kerajaan Perpaduan menafikan dakwaan mereka gagal dalam menguruskan negara seperti mana diserang oleh Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, pemimpin-pemimpin pembangkang sepatutnya mengemukakan bukti selepas mendakwa Kerajaan Perpaduan sudah gagal selepas mengambil alih pentadbiran negara.
Menurutnya, sehingga kini tiada bendera putih yang dikibarkan sebagai tanda Kerajaan Perpaduan gagal, malah ia membuktikan kerajaan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
“Kerajaan Perpaduan tidak gagal dan tiada bendera putih dikibarkan. Bilakah bendera putih itu dikibarkan? Ketika Presiden Perikatan Nasional (PN), (Tan Sri) Muhyiddin Yassin memerintah dan pada masa itu kerajaan gagal.
“Di saat dilanda masalah negara, kami tidak lari dan elak dari masalah tersebut malah selesaikan masalah tersebut demi rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap di Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale bagi PRK Kuala Kubu Baharu, malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan, pemimpin PN menyatakan dengan memilih calonnya, Khairul Azhari Saut pada PRK Kuala Kubu Baharu akan dapat memberikan isyarat penolakan terhadap Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan, banyak sumbangan dan usaha baki mendiang Lee Kee Hiong kepada rakyat Kuala Kubu Baharu.
Malah, jelasnya penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut merupakan seorang yang mampu berkhidmat dan mewakili semua kaum.
“Kalau ingin untuk mengenang budi beliau, pada 11 Mei nanti simpan undi untuk calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao untuk meneruskan kesinambungan cemerlang Lee Kee Hiong,” ujarnya. – UTUSAN










