KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan pihak pembelaan agar waran tangkap dikeluarkan terhadap saksi penting kes rasuah Lim Guan Eng ekoran ketidakhadiran ahli perniagaan itu pada prosiding perbicaraan hari ini tanpa disokong sijil cuti sakit.
Saksi pendakwaan ke-23, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli sepatutnya menyambung keterangan pada prosiding mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menteri itu.
Ketika mahkamah memulakan sidang, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat pukul 10.15 pagi bahawa Zarul Ahmad tidak dapat hadir kerana mengalami vertigo.
“Ini kali pertama saksi tidak mengemukakan sijil cuti sakit, sebelum ini beliau mengemukakannya (jika tidak hadir). Kalau saya dimaklumkan semalam, saya akan minta sijil cuti sakit daripadanya.
“Saya akan minta beliau bawa sijil cuti sakit pada prosiding 7 Jun ini kerana tarikh esok dilapangkan oleh kerana tertuduh mempunyai kes lain di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,” kata Wan Shaharuddin.
Peguam R.S.N. Rayer yang mewakili Guan Eng bagaimanapun memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Zarul Ahmad atas alasan ahli perniagaan itu gagal menyertakan sijil cuti sakit hari ini.
Rayer berkata, beliau tidak menyalahkan pihak pendakwaan kerana mereka dimaklumkan oleh pegawai penyiasat tentang ketidakhadiran saksi berkenaan hari ini, namun kes itu berada pada tahap yang begitu penting yang mana pembelaan sedang mencabar kebolehpercayaan saksi.
“Saya maklum tentang kekangan yang dihadapi barisan pendakwaan, pada masa yang sama saya mohon supaya mahkamah beri sekurang-kurangnya teguran kepada saksi.
“Kita tahu tentang keadaan kesihatan beliau (saksi), malahan sepanjang perjalanan kes juga kadang kala saya telah minta beliau (saksi) kalau beliau ingin berehat.
“Namun hari ini telah ditetapkan untuk prosiding mencabar kredibiliti yang mana sijil cuti sakit tidak dikemukakan, oleh itu waran tangkap boleh dikeluarkan terhadap beliau,” katanya.
Hakim Azura Alwi bagaimanapun menolak permohonan itu dan mengarahkan Zarul Ahmad mengemukakan sijil cuti sakit pada prosiding yang akan bersambung pada 7 Jun ini.
“Saya tidak bercadang untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau (Zarul Ahmad). Saya faham perjalanan dan susunan masa yang dibuat pihak peguam dan tertuduh, bagaimanapun saya rasa sebelum ini saksi itu akan maklum kepada mahkamah, jika tidak sihat,” kata Azura.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.
Zarul Ahmad ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. CZCSB dahulunya dikenali sebagai Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN









