Guan Eng persoal kemampuan Ahmad Samsuri galas dua jawatan

Guan Eng persoal kemampuan Ahmad Samsuri galas dua jawatan

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan keputusan Pas melantik Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang Parlimen ketika masih memegang jawatan Menteri Besar Terengganu.

Guan Eng berkata, timbul persoalan sama ada Pas tidak mempunyai pemimpin lain yang cukup berwibawa sehingga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu perlu memikul dua tanggungjawab besar secara serentak.

Katanya, kedua-dua jawatan tersebut memerlukan fokus dan komitmen penuh kerana melibatkan tugas yang berat di peringkat negeri dan Parlimen.

“Mana-mana satu jawatan ini pun perlukan tumpuan sepenuhnya. Mungkin Ahmad Samsuri sendiri pun keliru mana satu jawatan yang perlu diutamakan sama ada Ketua Pembangkang Parlimen atau Menteri Besar Terengganu,” katanya di Facebook, hari ini. 

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mempersoalkan kemampuan Ahli Parlimen Kemaman itu untuk membahagikan masa antara Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu memandangkan kedudukan kedua-dua lokasi kerja jauh antara satu sama lain.

Beliau berkata, tugas Ketua Pembangkang memerlukan kehadiran konsisten dalam sidang Dewan Rakyat setiap hari bagi memastikan semak dan imbang terhadap kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Kongsinya, berdasarkan portal myparliament.calmic.com.my, Ahmad Samsuri hanya merekodkan kehadiran sebanyak 158 daripada 248 hari persidangan Parlimen, bersamaan 63.7 peratus.

“Portal itu sendiri memberi komen bahawa kehadiran tersebut ‘needs improvement’ atau perlu ditambah baik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana Ahmad Samsuri mampu menjalankan tugas sebagai Ketua Pembangkang dengan efektif sekiranya kadar kehadiran ke Parlimen masih rendah.

Dalam masa sama, bekas Setiausaha Agung DAP itu berkata, sekiranya Ahmad Samsuri memberi tumpuan penuh kepada sidang Parlimen di Kuala Lumpur, beliau bimbang amanah sebagai Menteri Besar Terengganu pula tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Adalah tidak realistik dan kurang praktikal untuk beliau memakai ‘dua topi’ ini secara serentak. Akhirnya yang rugi ialah rakyat Terengganu dan pengundi PN kerana tidak mendapat perhatian serta tumpuan sepenuhnya,” katanya.

Semalam, Ahmad Samsuri diumumkan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang baharu selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Kali Ke-2 yang berlangsung di ibu negara. 

Pelantikan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas itu bagi mengisi kekosongan selepas Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin meletakkan jawatan.

Hamzah dilaporkan menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang pada 11 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN