GEORGE TOWN : Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini selepas mengalami masalah tekanan darah tinggi ketika berada di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Difahamkan, Muhammad Fauzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua itu pada awalnya berada dalam keadaan baik sebelum mula berasa lemah kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi dan terpaksa diberikan rawatan awal oleh petugas perubatan yang berada di lokasi.
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang itu kemudiannya dibawa menggunakan ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas negeri, Muhammad Hafiz Alias memaklumkan, keadaan Muhammad Fauzi kini stabil dan berada dalam keadaan sedar selepas menerima pemantauan rapi di hospital tersebut.
“Beliau (Muhammad Fauzi) sedang dipantau di unit kecemasan. Bacaan tekanan darah juga telah menurun selepas rawatan awal diberikan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.-UTUSAN










