Hamzah peroleh sokongan majoriti ahli Parlimen pembangkang

Hamzah peroleh sokongan majoriti ahli Parlimen pembangkang

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatan ketua pembangkang yang disandang Datuk Seri Hamzah Zainudin wajar dikekalkan memandangkan beliau memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam blok pembangkang.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pengumuman Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam bukan bermaksud parti berkenaan membelakangkan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mencerminkan pendirian selari dengan kehendak majoriti wakil rakyat pembangkang.

Katanya, Pas sebagai parti yang mempunyai bilangan ahli Parlimen terbesar dalam blok pembangkang sememangnya berhak menyatakan pendirian mengenai kepemimpinan blok berkenaan.

“Pas sejak awal lagi konsisten menyokong Hamzah sebagai ketua pembangkang dan mahu beliau terus dikekalkan dalam jawatan tersebut, termasuk selepas beliau dipecat daripada Bersatu.

“Hakikatnya, pada hari ini, 43 Ahli Parlimen Pas dan 19 Ahli Parlimen yang menyokong Hamzah mahu beliau terus kekal sebagai ketua pembangkang.

“Ini bermakna kira-kira 80 peratus Ahli Parlimen dalam blok pembangkang menyokong kedudukan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saifuddin, pengumuman itu dibuat selepas Pas memutuskan hubungan politik dengan Bersatu, sekali gus menyaksikan landskap serta dinamika dalaman blok pembangkang berubah berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, sekiranya keputusan mahu dibuat secara demokratik dalam blok pembangkang, suara majoriti Ahli Parlimen perlu dihormati.

“Dalam keadaan majoriti besar ahli Parlimen pembangkang masih menyokong Hamzah, adalah logik dan munasabah untuk beliau terus kekal sebagai ketua pembangkang.

“Pihak yang menuduh Pas membelakangkan PN juga gagal menjelaskan siapakah calon lain yang mempunyai sokongan lebih besar daripada Hamzah dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Saifuddin berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen, legitimasi seseorang ketua pembangkang bergantung pada sokongan majoriti wakil rakyat dan bukannya persepsi atau sentimen politik.

Katanya, dakwaan bahawa tindakan Abdul Hadi itu memberi gambaran wujudnya ‘kuasa mullah’ sekiranya Pas membentuk atau menyertai kerajaan Persekutuan adalah tidak berasas.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan sekadar mengulangi propaganda ‘gelombang hijau’ yang dimainkan pihak tertentu untuk menimbulkan ketakutan rakyat terhadap Pas.

“Isu sebenar bukanlah sama ada Abdul Hadi membelakangkan PN atau tidak. Isu sebenar ialah sama ada majoriti Ahli Parlimen pembangkang masih menyokong Hamzah sebagai ketua pembangkang. Berdasarkan angka yang ada, jawapannya jelas, iaitu ya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN