BARU-BARU ini, heboh di media sosial memperkatakan mengenai data rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melibatkan jumlah penduduk semasa di Pulau Pinang bagi 2025.
Berdasarkan data tersebut, jumlah penduduk bumiputera khususnya yang berketurunan Melayu dikatakan kini meningkat kepada 46.2 peratus atau kira-kira 750,000 berbanding masyarakat Cina iaitu 43.7 peratus (709,000).
Difahamkan, ini merupakan kali pertama jumlah penduduk Melayu direkodkan pada kadar yang lebih tinggi berbanding kaum Cina di Pulau Pinang sama ada di sebelah pulau atau di Seberang Perai.

Kaum India pula dikatakan membentuk kira-kira 9.5 peratus atau kira-kira 154,000 daripada jumlah keseluruhan penduduk iaitu 1.803 juta diikuti oleh kaum-kaum lain sebanyak 0.6 peratus atau kira-kira 10,000 selain kira-kira 180,000 penduduk yang berstatus bukan warganegara.
Data itu pada mulanya dimuat naik oleh sebuah portal yang dikenali sebagai OK Media menerusi laman Facebook dan dikongsi oleh sebuah portal lain iaitu Focus Malaysia sebelum tular di media sosial.
Apa yang menariknya ialah, Focus Malaysia dalam satu analisis ringkasnya turut bertanyakan mengenai kemungkinan Pulau Pinang akan menerima Ketua Menteri berketurunan Melayu yang pertama selepas ini disebabkan pertambahan peratusan jumlah bumiputera di negeri itu ketika ini.
Pengerusi Rakan Muda Persatuan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Syauqi Ibnihajar dalam satu kenyataannya berhubung perkara tersebut berkata, data rasmi itu telah menunjukkan satu perkembangan penting dalam landskap demografi penduduk di Pulau Pinang ketika ini.
“Sehubungan itu, kami berpandangan bahawa sudah tiba masanya rakyat Pulau Pinang mempertimbangkan peluang untuk melahirkan seorang Ketua Menteri Melayu yang berwibawa, berintegriti dan mampu memimpin seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
“Cadangan ini bukan bertujuan menafikan hak mana-mana komuniti, tetapi sebagai refleksi kepada realiti demografi semasa serta aspirasi sebahagian rakyat yang mahukan kepimpinan yang lebih mencerminkan komposisi penduduk negeri,” katanya.
Sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga kini, kesemua lima pemimpin yang pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang adalah berketurunan Cina.
Bermula dengan Tan Sri Wong Pow Nee yang mewakili MCA/Perikatan (1957-1969), jawatan itu kemudian disandang oleh pemimpin dari parti Gerakan/Barisan Nasional (BN), Tun Dr. Lim Chong Eu (1969-1990) sebelum digantikan oleh seorang lagi pemimpin dari parti yang sama iaitu Tan Sri Koh Tsu Koon (1990-2008).
Teraju kepimpinan kerajaan negeri kemudian beralih kepada pemimpin dari parti DAP iaitu Lim Guan Eng (2008-2018) sebelum Chow Kon Yeow juga dari DAP mengambil alih kerusi nombor satu di Pulau Pinang itu sehingga ke hari ini.
Justeru, perlukah tradisi pemimpin berketurunan Cina sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang itu dikekalkan atau mereka boleh diganti dengan pemimpin bukan Cina lain yang berkaliber di Pulau Pinang?
Dalam hal ini, jika Perlembagaan Negeri Pulau Pinang diambil kira, maka, tidak ada salahnya kerana tidak dinyatakan bahawa seseorang Ketua Menteri itu haruslah terdiri daripada satu keturunan sahaja iaitu Cina.
Jadi, jika Perlembagaan negeri juga memberi ‘restu’, bolehkah seorang pemimpin bukan Cina itu terutamanya kaum Melayu bumiputera dipilih sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas ini?
Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azmi Ariffin berpendapat, tidak mustahil untuk mengubah tradisi itu, dengan syarat, calon serta parti yang menaungi bakal Ketua Menteri baharu perlu menunjukkan prestasi politik yang baik iaitu memenangi pilihan raya terlebih dahulu.
Katanya, pola keputusan politik khususnya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ketika ini bagaimanapun menunjukkan kekukuhan undi serta kuasa kaum Cina manakala politik orang Melayu pula dilihat terpecah kepada pelbagai ideologi yang bertentangan.
Beliau berkata, walaupun dalam kes tertentu iaitu melalui perundingan dan tolak ansur, kedudukan calon boleh ditentukan berasaskan persetujuan dan strategi kerjasama, tetapi dengan kedudukan politik orang Cina yang kuat khususnya di kawasan bandar menyukarkan perubahan itu untuk berlaku.
“Jadi, kalau berhasrat untuk ubah tradisi itu, mestilah disertai dengan perubahan wajah politik di peringkat DUN atau kerusi. Angka (Melayu) yang ramai sahaja sebenarnya tidak memadai,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Azmi yang juga seorang penganalisis politik berkata, andai wujud kerjasama antara dua parti utama Melayu seperti Pas dan UMNO selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang nanti yang memperlihatkan kedudukan Melayu itu lebih tinggi, maka, tuntutan
jawatan Ketua Menteri itu boleh dibuat.
“Tetapi, dalam keadaan sekarang, Melayu ini kerusinya plastik dan rapuh. Jadi, macam mana nak tuntut? DAP tidak mungkin benarkan kerana Pulau Pinang ini sudah menjadi simbol kekuatan mereka. Kalau diberi pun, ia pasti akan merugikan DAP. Saya pasti dalam bab ini, DAP tidak akan sesekali berkompromi,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow sendiri turut memberi respon ketika ditanya mengenai isu Ketua Menteri Pulau Pinang daripada kalangan pemimpin yang bukan berketurunan Cina.
“Ini adalah sebuah kerajaan yang demokrasi. Jadi, para pengundi sendiri yang akan membuat keputusan (dalam pilihan raya). Dalam hal ini, demokrasi hanya akan mengiktiraf pemenang,” katanya. – UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Pulau Pinang.










