Hamzah seolah beri gambaran mahu kekal Ketua Pembangkang

Hamzah seolah beri gambaran mahu kekal Ketua Pembangkang

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang masih belum menyerahkan surat peletakan jawatan beliau sebagai ketua pembangkang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat seolah memberi gambaran Ahli Parlimen Larut itu mahu kekal memegang jawatan tersebut.

Dakwa Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, kelewatan itu juga seolah Hamzah cuba untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen pembangkang yang lain bagi membolehkan dirinya kekal sebagai ketua pembangkang.

“Secara teknikalnya, ia boleh berlaku seperti itu, beliau (Hamzah) boleh mendapatkan sokongan daripada ahli Parlimen pembangkang untuk dia kekal sebagai ketua Pembangkang.

“Mungkin disebabkan itu, sehingga hari ini beliau tidak memberikan surat kepada Speaker Dewan Rakyat bagi membolehkan tindakan lanjut dibuat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini mengesahkan Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu bukan lagi sebagai Ketua Pembangkang.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah menghantar surat rasmi bagi memaklumkan kekosongan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Namun, Johari menjelaskan, pihaknya masih belum mendapat surat perletakan jawatan daripada Hamzah, sekali gus Dewan Rakyat tidak boleh membuat sebarang tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, tindakan Hamzah itu menjelaskan yang beliau tidak menghormati keputusan Pas yang telah mempunyai calon ketua pembangkang baharu.

“Pas sudah mempunyai calon ketua pembangkang. Jadi, adalah tidak wajar bagi Hamzah masih menganggap dirinya sebagai Ketua Pembangkang dan gagal menghantar surat peletakan jawatan kepada Speaker Dewan Rakyat sehingga hari ini.

“Jadi, saya harap beliau tidak meremehkan kenyataan dibuat Setiausaha PN dan Pengerusi PN bahawa beliau bukan Ketua Pembangkang di Parlimen,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN