PETALING JAYA: Pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara dan amat dirasai seluruh rakyat Malaysia.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas pemergian Allahyarhamah.
“Pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar buat negara dan pastinya amat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampuninya serta menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang solehah dan beriman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut mendoakan agar Tun Dr. Mahathir dan seluruh keluarga diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi dugaan berkenaan.
Dr. Siti Hasmah, 100, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.20 pagi tadi di IJN.
Berita pemergian isteri kepada Tun Dr. Mahathir itu disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini.-UTUSAN











