PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan UMNO sebagai ‘progresif palsu’ susulan kenyataan Khairy yang mempertahankan gaya politik Datuk Dr Akmal Saleh yang masih diperlukan dalam parti berkenaan.
Katanya, Khairy seolah-olah menerima alasan bahawa Presiden UMNO Zahid Hamidi membiarkan pendekatan Akmal kerana parti itu berdepan ancaman politik di sebelah kanan, khususnya daripada Perikatan Nasional.
“Dua kesalahan tidak menjadikan sesuatu itu betul.
“Jika Perikatan Nasional salah kerana menggunakan tindakan ekstrem dan gaya kontroversi untuk mengukuhkan sokongan nasionalis Melayu, maka sama juga salahnya jika pemimpin Pemuda Umno meniru pendekatan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, pendirian Khairy itu berbeza dengan imej yang pernah dibawanya sebelum ini, khususnya selepas dipecat oleh Umno sebelum kembali semula kepada parti itu.
“Khairy sebelum ini sering menonjolkan pendekatan bukan perkauman dan dasar progresif yang digambarkan sebagai adil serta bermanfaat kepada semua rakyat Malaysia.
“Jelas sekali, cubaan Khairy untuk membersihkan imej tindakan Akmal yang tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab menunjukkan kedua-dua UMNO dan Khairy hanyalah progresif palsu,” katanya.
Guan Eng turut menyifatkan UMNO menunjukkan ‘cita-cita kuasa tanpa batas’ apabila didakwa menikam rakan gabungan dari belakang dalam cubaan gagal merebut kuasa kerajaan Negeri Sembilan.
Kenyataan itu merujuk kepada UMNO dan Barisan Nasional di Johor yang mahu bertanding di semua 56 DUN pada PRN akan datang, sambil menyifatkannya sebagai pengisytiharan perang secara sepihak terhadap rakan politik.
“Bagi mereka yang pernah meletakkan harapan kepada Khairy, kini mereka boleh melihat bahawa Khairy dan Umno membuktikan harimau tidak akan mengubah belangnya,” katanya.
Semalam, Khairy dilaporkan berkata, gaya politik Akmal masih diperlukan dalam UMNO kerana wujud ‘ancaman jelas dan nyata’ di sebelah kanan politik, yang kini dikuasai PN.
Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO sebelum ini, mencetuskan kontroversi melalui kenyataan dan kempen politiknya, termasuk dalam isu membabitkan sentimen Melayu-Islam. – UTUSAN









