BUKIT MERTAJAM : DAP tidak pernah melupakan prinsip perjuangannya selama ini walaupun parti itu kini sudah berada dalam kerajaan.
Penasihat Kebangsaannya, Lim Guan Eng berkata, antara prinsip yang masih dipegang oleh DAP ketika ini ialah mereka tidak akan sesekali berkompromi dalam sebarang isu yang membabitkan kepentingan rakyat.
“Tanggapan bahawa kononnya kita sudah melupakan prinsip dan idealisme parti setelah berada dalam kerajaan adalah tidak benar sama sekali. Kita tidak pernah lupa asas perjuangan kita.
“Maka, sebab itu jugalah kita setuju untuk adakan persidangan (konvensyen) parti Julai ini bagi memberi ruang kepada perwakilan untuk menentukan hala tuju parti selain menunjukkan kepada rakyat bahawa DAP sentiasa berpegang teguh pada prinsip,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun DAP ke-60 yang turut dihadiri oleh hampir kesemua pimpinan DAP peringkat kebangsaan dan negeri di sini, hari ini.
Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP berkata, sebarang teguran atau pandangan yang disuarakan terhadap kepimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteri sebelum ini adalah demi kebaikan semua pihak.
“Sebagai contoh, apabila beliau (Perdana Menteri) berjaya mentadbir negara dengan baik, maka, semua pihak akan mendapat manfaatnya dan kita (Kerajaan Perpaduan) juga mampu untuk mencapai kejayaan yang lebih baik dalam pilihan raya akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, parti itu mesti terus bertindak sebagai suara rakyat dalam kerajaan atau berisiko kehilangan relevansi dan kepercayaan awam.
“Suara rakyat mesti sampai ke Kabinet. Jika kita berada dalam kerajaan dan kita tidak bersuara untuk rakyat, maka, peranan kita (DAP) tidak membawa sebarang makna,” kata beliau.-UTUSAN










