Saya tiada niat untuk kenakan Guan Eng - Saksi

Saya tiada niat untuk kenakan Guan Eng – Saksi

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan ke-37 memaklumkan, beliau tidak ada sebarang niat untuk mengenakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sehingga didakwa di mahkamah berhubung kes rasuah projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut.

Ahli perniagaan, Datuk Seri G Gnanaraja berkata, penasihat DAP itu tidak pernah berbuat jahat mahupun menjadi musuhnya sekali gus menafikan dakwaan berkenaan.

Gnanaraja berkata, jika dirinya ada kecenderungan untuk menipu seperti didakwa pembelaan, sudah tentu beliau akan menyatakan empat beg berisi wang yang diberikan bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, adalah untuk Guan Eng.

“Saya tidak ada niat untuk kenakan Guan Eng dengan motif penipuan. Saya dari awal lagi telah mengaku ambil wang RM19 juta.

“Kalau saya tidak mengaku, itu sudah menjadi satu penipuan. Saya cakap apa yang saya ambil dan saya juga mengaku apa yang saya berikan kepada Guan Eng,” katanya menjawab soalan pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Pada 27 Ogos tahun lalu, Gnanaraja memberitahu mahkamah, beliau sendiri yang menyerahkan dua beg hitam berisi wang berjumlah RM2 juta kepada Guan Eng selepas menerimanya daripada Zarul Ahmad di Hotel Eastin Petaling Jaya pada 18 Ogos 2017.

Pada 3 April 2019, Gnanaraja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu Zarul Ahmad membabitkan RM19 juta.

Beliau didakwa memperdaya Zarul Ahmad dengan mempercayai bahawa beliau boleh membantu menutup siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Bagaimanapun, kes itu kemudian diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Selepas Gnanaraja selesai memberi keterangan, prosiding diteruskan dengan pendengaran permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan pertama ke atas Guan Eng.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 6 Mei ini bagi keputusan dan menyambung perbicaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN