TAIPING: Kerajaan terus memberi penekanan terhadap Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) supaya ia menjadi pilihan pendidikan aras perdana dan bukan lagi kelas kedua.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, untuk itu, kementerian menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan bagi memastikan kemajuan pendidikan TVET di negara ini.
Menurutnya, TVET mampu memenuhi keperluan berkemahiran tinggi yang merupakan elemen penting untuk melahirkan tenaga kerja mahir bagi mengisi permintaan pekerjaan di negara ini.
“Kita mahu menangkis persepsi TVET merupakan pendidikan kelas kedua.
“Untuk itu, kementerian terus memberi fokus dan penekanan supaya pendidikan TVET menjadi pilihan sama rata dengan pendidikan arus perdana, bukannya pendidikan kelas kedua.
“Kini terdapat 86 buah kolej vokasional yang menawarkan pendidikan TVET di seluruh negara dan kadar kebolehpasaran graduan TVET pada tahun lalu mencapai lebih 99.15 peratus,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera Daerah Larut, Matang dan Selama di Dewan MPT Kamunting di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, pengumuman syarikat Microsoft yang melabur sebanyak AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) di negara ini dalam tempoh empat tahun akan datang membuktikan Malaysia terus menjadi pilihan pelabur asing.
Menurutnya, pelaburan Microsoft itu adalah yang terbesar, melebihi pelaburannya di Indonesia berjumlah RM8.1 billion dan Thailand sebanyak RM4.8 billion.
“Penambahan pelaburan Microsoft di negara ini menunjukkan keyakinan pelabur asing dan juga syarikat besar antarabangsa terhadap ekonomi negara.
“Kita berharap dengan peningkatan ekonomi negara, majikan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia dan menawarkan kadar gaji yang setimpal kepada mereka,” katanya. – UTUSAN










