KPM tambah tujuh lagi sekolah K11 tahun depan

KPM tambah tujuh lagi sekolah K11 tahun depan

WONG Kah Woh ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPM 2025 di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah tujuh lagi Sekolah Model Khas Komprehensif K11 tahun depan bagi memperluaskan akses pendidikan kepada murid terutama di kawasan pedalaman.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, penambahan itu akan menjadikan jumlah sekolah K11 di seluruh negara meningkat daripada sembilan buah ketika ini kepada 16 buah.

Beliau berkata, sekolah K11 membolehkan murid mengikuti pendidikan dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di bawah satu sekolah, manakala model K9 merangkumi pendidikan sehingga Tingkatan Tiga.

“Dalam tempoh tiga setengah tahun ini, kita berjaya menambah bilangan sekolah K9 dan mewujudkan program sekolah K11.

“Ketika ini terdapat 26 sekolah K9 dan sembilan sekolah K11. Tahun depan kita sasarkan tujuh lagi sekolah K11,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPM 2025 di sini hari ini.

Katanya, sekolah yang dikenal pasti bagi pelaksanaan K11 tahun depan terletak di Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Sabah.

Kah Woh berkata, semua sekolah berkenaan berada di kawasan pedalaman yang memerlukan kemudahan pendidikan lebih menyeluruh bagi mengatasi cabaran pengangkutan dan jarak perjalanan ke sekolah.

Menurutnya, bagi tahun ini, empat sekolah K9 telah dinaik taraf kepada K11 iaitu SK Pulau Beluru di Kelantan, SK Satak di Pahang, SK Jenang di Perak dan SK Datuk Undang Abdullah di Negeri Sembilan.

“Ini amat penting bagi memastikan akses pendidikan sampai ke mana-mana sahaja, khususnya kepada anak-anak di luar bandar dan kawasan pedalaman supaya mereka mendapat peluang pendidikan formal yang lebih baik,” katanya.

Sekolah Model Khas Komprehensif (K9 dan K11) merupakan inisiatif KPM untuk menangani masalah keciciran murid, khususnya di kawasan pedalaman dan komuniti Orang Asli.

Program ini membolehkan murid belajar di bawah satu bumbung dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 3 (K9) atau Tingkatan 5 (K11). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN