PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan kadar kemasukan murid di sekolah menengah melebihi 95 peratus susulan kelulusan pindaan Akta Pendidikan 1996 yang mewajibkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima, tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pada ketika ini kadar kemasukan sekolah menengah berada pada tahap 94 peratus.
Beliau berkata, KPM akan mempergiat pelbagai usaha bagi memastikan lebih ramai murid meneruskan persekolahan sehingga menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pindaan undang-undang itu yang diluluskan di Parlimen tahun lalu kini berada pada peringkat akhir proses pewartaan.
“Pindaan Akta Pendidikan ini tidak bersifat menghukum, sebaliknya bertujuan memberi kesedaran kepada ibu bapa dan pelajar mengenai kepentingan menamatkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima.
“Kita mahu memastikan akses pendidikan sampai kepada semua, selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar supaya mereka terus berada dalam sistem pendidikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPM 2025 di sini hari ini.
Katanya, kejayaan pendidikan wajib di peringkat sekolah rendah membuktikan pendekatan itu mampu meningkatkan penyertaan murid dalam sistem pendidikan negara.
Kah Woh berkata, ketika pendidikan wajib sekolah rendah diperkenalkan pada 2003, kadar enrolmen berada pada paras 92 peratus sebelum meningkat kepada lebih 99 peratus pada masa ini.
Menurutnya, KPM akan terus memperkukuh program kesedaran menerusi kerjasama pengetua, guru besar, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta bagi memastikan murid kekal bersekolah sehingga tamat Tingkatan Lima.
Pada 30 Julai 2025, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (Pindaan) Pendidikan 2025 yang meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi memperluaskan dasar pendidikan wajib daripada peringkat rendah kepada pendidikan menengah sehingga Tingkatan Lima.
Pindaan itu antara lain memasukkan peruntukan baharu yang memberi kuasa untuk melaksanakan pendidikan menengah wajib serta mewajibkan ibu bapa memastikan anak mengikuti persekolahan sehingga tamat pendidikan menengah. – UTUSAN










