HULU SELANGOR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli tidak melemahkan semangat Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara tersebut lebih ‘membakar semangat’ PN untuk menentang kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Kita dimaklumkan bahawa Menteri Besar Perlis hanyalah dalam siasatan bukannya ditahan dan ia tidak adil untuk menghukum individu dengan fitnah dalam tajuk berita bahawa Menteri Besar Perlis ditahan.
“Ini tidak adil kerana dia dipanggil untuk memberi keterangan dan beliau mengambil tanggungjawab untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan mengenai anaknya ditahan oleh SPRM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri ceramah kelompok PN.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mohd. Shukri disiasat selama sembilan jam di Ibu Pejabat SPRM semalam.
Dipercayai beliau disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung isu salah guna kuasa membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, Mohd. Shukri sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah untuk mendidik anaknya.
Jelasnya, isu tersebut tidak seharusnya dibangkitkan sebagai bahan kempen memandangkan rakyat kini sedang terkesan dengan pelbagai perkara lain seperti kos sara hidup, inflasi, keselamatan dan perpecahan dalam masyarakat yang semakin serius.
“Tidak perlu mencari isu yang remeh untuk melemahkan PN kerana dukungan rakyat kepada PN semakin lama semakin kuat dan ianya tidak memberi kesan.
“Kita teruskan dengan berkempen dan memberi penjelasan agar tidak berlaku fitnah dan bersangka buruk dalam kempen pilihan raya kerana rakyat sudah penat dengan politik kotor seperti ini,” katanya.-UTUSAN










