PRK 11 Mei tanda aras kestabilan atau biak sentimen kaum? - Utusan Malaysia

PRK 11 Mei tanda aras kestabilan atau biak sentimen kaum?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM musim pilihan rayalah kita boleh lihat macam-macam kerenah janji itu, ini. Anda pengundi boleh lihat sendiri ada calon tiba-tiba boleh cakap Tamil, sedangkan dia berbangsa Melayu.

Pernah dalam satu pilihan raya negeri, ada calon buat video seolah-olah lagaknya pelakon hero Tamil, Rajinikanth. Aksi bagi menarik sokongan pengundi India di kawasannya. Padahal, pengundi tidak kisah pun calon boleh cakap walau 1,000 bahasa, asalkan boleh buat kerja cukuplah.

Ada parti satu ini pula bertanding hanya beberapa kerusi, tetapi janji manifestonya melangit hingga puncak Gunung Ledang. Dikatakan mahu beli rumah secara pukal untuk dijual kepada rakyat. Bunyinya hebat `gajah pun boleh terbang’, tetapi bertanding tidak sampai pun ke angka majoriti mudah.

Dalam mana-mana pilihan raya, apa lagi dalam lima tahun kebelakangan ini, strategi di luar kotak amat penting.

POLITIK LAMA

Hari ini parti-parti politik tidak lagi bermain cara politik lama untuk meraih sokongan pengundi. Amalan bertanding di kerusi tradisi ada ketika sudah dianggap lapuk. Membenarkan parti-parti komponen bertanding di kawasan majoriti Melayu yang dilakukan pada awal kemerdekaan atas dasar setiakawan, sukar dipraktikkan lagi.

Dengan banyak kerusi parlimen yang majoriti pengundinya Cina, maka parti berteraskan Cina sepatutnya berdepan dengan parti kecinaan mereka, tidak lagi bertanding di kawasan parlimen bermajoriti Melayu. Itu praktis yang rasional.

Ada tempat yang boleh berkompromi, harus kompromi. Ada tempat yang pucuk pimpinan parti-parti komponen mahu bertegang leher, perlulah bertegang leher. Namun demi kemenangan, ego diketepikan sebaliknya diutamakan kepentingan peribadi dan organisasi yang diwakili.

Suatu ketika kita mengutarakan kebimbangan mereka yang berumur 18 tahun tidak mempunyai pengalaman dan ilmu meluas tentang politik. Bahkan, kebanyakan generasi muda dikatakan sangat mudah terpengaruh pada berita politik. Mereka berkemungkinan hanya mengundi berdasarkan undian majoriti ataupun terpengaruh dengan warga dewasa yang lain. Tetapi akhirnya parti politik terpaksa terima realitinya.

Yang harus sentiasa beringat di kepala, pengundi dan rakyat makin hari makin matang. Mereka tetap memantau parti dan wakil-wakil parlimen dan DUN. Kalau di Amerika dan England, rakyatnya menukar kerajaan setiap dua penggal.

Di England, ada kerajaan baharu setiap 10 hingga 15 tahun. Dua atau tiga pilihan raya sudah berganti kerajaan yang baharu. Walaupun kerajaan itu prestasinya baik, tetap ditukar. Sistem dua parti seperti itu tidak akan bagi 100 tahun untuk satu-satu parti memerintah.

REVOLUSI RAKYAT

Beringatlah juga, mana-mana `tsunami’, gelombang atau revolusi tidak akan berlaku melainkan masyarakat yang mulakan. Ia tidak akan berlaku jika ahli politik ingin melakukannya. Tunjukkan satu revolusi yang dimulai oleh ahli politik? Tidak ada.

Sejarah revolusi semuanya dimulakan oleh rakyat. Ahli politik hanya `rampas’ revolusi ini. Daripada revolusi Perancis sehingga ke Perang Dunia Pertama, revolusi dicetuskan oleh rakyat. Dan kebanyakan revolusi ini dimulakan sebab rakyat kelaparan.

Dan kita kena faham lebih 70 peratus rakyat Malaysia melayari Internet. Kanak-kanak umur lapan ke 10 tahun sudah ada Facebook dan Instagram. Mereka menggunakan telefon bermacam jenama. Mereka jauh lebih pintar dari zaman kita dahulu.

Bagaimana hendak menipu generasi ini? Mereka well informed. Bagaimana kita hendak memperbudakkan generasi ini hanya dengan perubahan kosmetik. Tidak, perubahan ini semua kena nyata dan drastik.

Rule of law, not rule by law, akauntabiliti, ketelusan, kebebasan dan kehakiman, kini berada di tangga nombor satu rakyat. Barangkali ada beberapa perkara yang rakyat tidak suka, tetapi ia ada dalam tangga teratas di peringkat Persekutuan. Mereka bukan nak cipta semula wheel (roda). Cuma kata mereka, wheel kena berputar.

Sebilangan rakyat mungkin masih perlu `bayar bawah meja’ untuk selesaikan sesuatu hal. Itu yang perlu diperangi habis-habisan.

BERUBAH ATAU MATI
Mana-mana parti politik, tidak kira PKR, DAP, UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Amanah, Pejuang, Muda, Putra atau apa sahaja parti, sudah sampai ke peringkat change or die (berubah atau mati) demi untuk meraih sokongan rakyat. Dan akhirnya pasti sekali untuk berbuat apa sahaja demi berkuasa.

DAP yang dikatakan `ditakuti ramai’ tidak bermula sebagai parti Cina. Apabila bermula 1966, parti itu meletakkan naib pengerusinya Melayu. Setiausaha agung pertamanya pula Devan Nair. Meskipun mempunyai ramai ahli Cina dan India, tetapi DAP tidak bermula sebagai parti Cina. Apakah itu `strategi’ di peringkat awal lagi?

Namun bukan sahaja DAP, bahkan UMNO, Pas mahupun Bersatu bahawa untuk anda mara ke hadapan, masing-masing perlukan change the rule of game iaitu tidak boleh lagi berasaskan kaum. Apa lagi dalam mengharungi politik hari ini.

Waima apa pun, peratusan keluar mengundi tetap akan menghantui parti-parti bertanding. Apa lagi penyandang. Ini termasuklah PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini. Jika kurang 70 peratus, khabarnya kerusi itu kekal di tangan Pakatan Harapan.

Lebih 80 peratus keluar pengundi pula katanya kerusi bakal bertukar tangan kepada calon Perikatan Nasional. Itu bacaan bilik perang parti-parti bertanding berdasarkan percaturan atas kertas `lebih 80 peratus akan memihak kepada sentimen Melayu (komposisi pengundi tinggi) yang memenangkan’. Wallahualam.

Adakah strategi calon dan parti , ataupun sentimen kaum atau barangkali kestabilan yang diuar-uarkan akan menjadi penentu kemenangan dalam PRK Kuala Kubu Baharu?

Yang pasti, keputusan PRK 11 Mei ini akan menjadi tanda aras corak pengundian kepada pilihan raya-pilihan raya terutama negeri yang mendatang – sehinggalah PRU16.
Kesan ke atas corak kestabilan negara? Barangkali. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN