HULU SELANGOR: Keadaan yang uzur tidak menjadi penghalang buat seorang warga emas menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Pengundi, Zul Majid, 63, berkata, ia adalah kali pertama beliau keluar mengundi sejak terlantar sakit iaitu pada tahun 2020.
Katanya, dia gembira kerana dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
“(Saya sakit) kesan daripada kencing manis, saya kena strok. Tak boleh nak kata seronoknya (keluar mengundi).
“(Ini) kali pertama (saya keluar mengundi), yang lepas (PRN) saya tak dapat (mengundi) sejak terlantar sakit,” katanya ketika ditemui di pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang Pecah, di sini hari ini.
Semua pusat mengundi mula dibuka pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 6 petang kecuali pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Bukit Fraser (Tapak Lama) di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pertak yang dibuka selama 6 jam sehingga pukul 2 petang.
PRK Kuala Kubu Baharu melibatkan pertembungan empat penjuru iaitu dua parti gergasi, Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan Pang Sock Tao dan Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan Khairul Azhari Saut.
Dua lagi dalam saingan tersebut adalah Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas, Nyau Ke Xin.
Dalam pada itu, Zul berharap wakil rakyat yang bakal dipilih hari ini untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan menjaga penduduk di sini dengan baik.
“Jaga rakyat, jangan bagi rakyat susah. Jangan macam-macam, perkauman, bangsa, agama ke menjadi pertikaian,” ujarnya.- UTUSAN










