JERANTUT: Aktiviti perjudian secara dalam talian dan kegiatan tidak bermoral yang didakwa berlaku di beberapa premis hiburan sekitar bandar ini dibantah kerana dikhuatiri menjejaskan imej daerah berkenaan.
Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah berkata, aduan dan kebimbangan yang disuarakan oleh masyarakat di daerah ini berhubung dakwaan itu tidak boleh dipandang ringan khususnya oleh pihak berwajib.
“Perkara ini melibatkan kepentingan masyarakat, keselamatan persekitaran dan imej bandar Jerantut sebagai sebuah bandar yang menjadi tumpuan penduduk dan pengunjung.
“Saya ingin menegaskan bahawa sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang, termasuk perjudian, penyalahgunaan dadah dan kegiatan tidak bermoral perlu ditangani secara tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, dakwaan itu perlu ditangani secara serius oleh pihak berwajib dengan membuat pemeriksaan dan tindakan sewajarnya dilaksanakan berasaskan undang-undang.
“Bandar ini merupakan tempat yang selamat, harmoni, sejahtera dan mempunyai persekitaran yang baik untuk keluarga berbelanja termasuk disinggah ramai pelawat domestik dan pelancong seluruh dunia ke Taman Negara Kuala Tahan.
“Sekiranya wujud aktiviti perjudian di sebalik operasi pusat jualan alat peranti, kafe dan pusat hiburan sudah tentu mencalarkan imej bandar ini yang pernah diktiraf sebagai Bandar Paling Bahagia di Malaysia sebelum ini dan baru-baru ini telahpun menerima Anugerah Bandar Paling Mampan 2026,” katanya.
Berkongsi pandangan yang sama, ADUN Damak dari parti Pas, Zuridan Mohd. Daud berkata, pihaknya membantah sebarang bentuk aktiviti perjudian dan pusat hiburan wujud di bandar ini.
“Saya banyak mendapat aduan daripada warga Jerantut yang begitu prihatin dan menyuarakan kebimbangan terlalu banyak pusat judi atas talian yang beroperasi di sebalik kafe dan pusat hiburan keluarga di Bandar Jerantut.
“Aduan yang saya terima menerusi dakwaan penduduk mengenai wujud beberapa tempat pusat karaoke yang mungkin menjalankan aktiviti yang tidak bermoral hingga ke awal pagi di sekitar Bandar Inderapura,” katanya.
Zuridan yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pahang mendakwa, ada aduan para para jemaah sebuah masjid yang bersarapan di warung seberang jalan selepas solat Subuh sering melihat wanita berpakaian tidak senonoh selain dipercayai mabuk keluar dari tempat tersebut.
Beliau berkata, Pas bersama UMNO sudah membuat aduan kepada pihak berwajib dan berharap perkara berkenaan dapat ditangani dengan bijak bagi menghindarkan imej bandar Jerantut dicemari maksiat-UTUSAN.











