HULU SELANGOR: Salah satu daripada 18 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ‘sunyi’ berbanding pusat pengundian lain, di sini.
Seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak mahu dikenali berkata, keadaan lenggang itu berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kerling berlaku sejak pukul 11 pagi.
Menurut beliau, jumlah pengundi yang hadir tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi yang berdaftar di sini iaitu 1,245 orang.
“Benar, dari pagi memang keadaan lenggang. Pada awal pagi, pengundi agak ramai sedikit tetapi semakin berkurang apabila masuk tengah hari.
“Antara semua saluran, saluran tiga iaitu pengundi muda lebih sedikit sekitar 171 orang. Kalau saluran satu dan dua pula masing-masing 179 dan 198 pengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Keadaan berbeza berbanding dua pusat pengundian lain iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Batang Kali dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Baharu yang tidak putus pengundi keluar mengundi
Untuk rekod, semua pusat mengundi mula dibuka pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 6 petang kecuali pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Bukit Fraser (Tapak Lama) di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pertak yang dibuka selama 6 jam sehingga pukul 2 petang.
PRK Kuala Kubu Baharu melibatkan pertembungan empat penjuru iaitu dua parti gergasi, Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan Pang Sock Tao dan Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan Khairul Azhari Saut.
Dua lagi dalam saingan tersebut adalah Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas, Nyau Ke Xin.
Sementara itu, pengudi, Anik Andhar, 28, berkata, keadaan di pusat pengundian yang sunyi iu berlaku sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Memang dekat sini ‘tenang’ macam ni daripada PRN lalu.
“Saya rasa disebabkan banyak orang muda di sini sudah bekerja di luar kawasan seperti di Kuala Lumpur. Jadi untuk balik mengundi tu mungkin sukar disebabkan waktu pekerjaan atau tiada cuti,” ujarnya.- UTUSAN










