PERANAN Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam mendidik pengundi bagi pilihan raya negeri dan pilihan raya umum amat penting untuk memastikan sistem demokrasi negara terus berfungsi dengan berkesan.
Sehubungan itu, SPR melaksanakan pelbagai program pendidikan pengundi secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat tentang proses pilihan raya serta tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
Bagi mencapai matlamat tersebut, SPR menganjurkan pelbagai kempen, seminar, ceramah, pameran dan program penerangan yang memberi penekanan kepada kepentingan mengundi serta penyertaan aktif dalam proses demokrasi.
Pada masa sama, SPR menyediakan maklumat lengkap berkaitan prosedur pendaftaran pemilih, syarat kelayakan mengundi, tatacara pengundian serta undang-undang dan peraturan yang mengawal perjalanan pilihan raya.
SPR juga memastikan maklumat berkaitan pilihan raya disampaikan kepada orang ramai secara tepat dan menyeluruh. Antaranya termasuk tarikh pengundian, lokasi pusat mengundi, sempadan kawasan pilihan raya serta maklumat calon.
Penyampaian maklumat ini dilakukan melalui pelbagai saluran komunikasi seperti akhbar, televisyen, radio, media sosial dan laman sesawang rasmi SPR bagi memastikan maklumat mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Dalam usaha memperkukuh budaya demokrasi, SPR turut menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil.
Kerjasama ini bertujuan memupuk kesedaran tentang hak dan tanggungjawab sebagai warganegara, khususnya dalam kalangan golongan muda dan pengundi kali pertama agar mereka lebih bersedia menyertai proses pilihan raya secara beretika dan bertanggungjawab.
Inisiatif pendidikan pengundi yang dilaksanakan SPR membantu melahirkan pengundi yang lebih berpengetahuan, bermaklumat dan bertanggungjawab.
Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kekeliruan dan undi rosak, malah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem pilihan raya.
Usaha berterusan ini menyumbang kepada pengukuhan amalan demokrasi serta menjamin proses pilihan raya yang yang lebih telus, adil dan berwibawa di Malaysia. – UTUSAN
BULBIR SINGH
Negeri Sembilan










