Keputusan PRN Johor dijangka diketahui seawal pukul 10 malam

Keputusan PRN Johor dijangka diketahui seawal pukul 10 malam

RAMLAN Harun ketika sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian awal oleh anggota dan pegawai tentera bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, di Kem Mahkota, di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka diketahui seawal pukul 10 malam pada Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dijangka dapat diumumkan sebelum tengah malam pada hari pengundian.

Menurut beliau, SPR tidak akan mengeluarkan sebarang keputusan awal pada hari tersebut.

“Keputusan penuh kita menjangkakan sebelum tengah malam iaitu sebelum pukul 12 tengah malam.

“Kita sama-sama berdoa dengan sistem yang sudah ditambah baik, dan kita harap keputusan itu kita boleh dapat dalam pukul 10 malam,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Dewan Mahkota, Kem Mahkota, di sini hari ini.

Sebanyak tujuh parti atau gabungan politik utama bakal berentap dalam PRN Johor pada 11 Julai ini bagi merebut 56 kerusi DUN, melibatkan 172 calon termasuk calon Bebas.

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing bertanding di kesemua 56 kerusi DUN.

Perikatan Nasional (PN) pula bertanding di 33 kerusi DUN, manakala Parti Bersama Malaysia meletakkan calon di lima kerusi.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bertanding di empat kerusi DUN, manakala Parti Orang Asli Malaysia (POAM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing meletakkan seorang calon.

Dalam perkembangan sama, Ramlan menggesa semua pengundi yang layak supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian.

“Kami amat berharap semua pengundi yang layak mengundi keluar mengundi beramai-ramai. Ini peluang untuk kita sama-sama menyumbang kepada negara melalui sistem demokrasi yang kita pegang selama ini.

“Saya mengharapkan semua pengundi tanpa mengira lapisan umur keluar mengundi beramai-ramai pada 11 Julai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN