BESUT: Bermula sekadar memenuhi minat memancing, sepasang suami isteri tidak menyangka aktiviti menangkap ikan puyu ketika musim bah mampu menjadi sumber pendapatan sampingan.
Pasangan dari Kampung Tanah Merah, Kerandang itu, Nur Hidayah Mamat, 36, dan suaminya, Mohd. Khairul Muin Razali, 36, memberitahu, mereka mula menjual ikan puyu sejak sebulan lalu selepas memperoleh hasil memancing dalam jumlah yang banyak.
Menurut Nur Hidayah, musim padi masak menjadi peluang untuk mereka turun memancing terutama selepas kawasan sawah mula digenangi air dan dipenuhi ikan puyu.
“Pada mulanya kami memancing sekadar suka-suka kerana memang minat aktiviti itu, tetapi apabila ikan terlalu banyak dan tidak habis dimakan, kami mengambil keputusan untuk menjualnya.
“Selain ikan puyu, ada juga ikan haruan dan beberapa jenis ikan lain yang berjaya diperoleh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Katanya, mereka biasanya keluar memancing bersama-sama sekitar pukul 5.30 petang hingga 7 petang menggunakan umpan cengkerik dan mampu memperoleh kira-kira 70 ekor ikan puyu sehari.
Sementara itu, Mohd. Khairul Muin berkata, ikan puyu yang ditangkap dijual dalam pek seberat 250 gram pada harga RM7 termasuk sudah disiang bagi memudahkan pelanggan mereka.-UTUSAN.











