PUTRAJAYA: Kementerian atau agensi berkaitan bersedia mengadakan libat urus dengan wakil dari Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan wujud aliran dana ke Iran dan proksinya, Hamas melalui sistem kewangan Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ada dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan ia (perbincangan) masih berjalan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, isu sama telah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Kabinet.
“Kami memandang dengan serius isu ini, namun disebabkan masih di peringkat perbincangan dan ia masih berjalan, maka saya tak mahu komen (lebih) mendalam.
“Kerajaan (melalui) kementerian dan agensi berkaitan, bersedia mengadakan libat urus dengan rakan sejawat dari AS dan untuk memahami apa kebimbangan sebenar mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Pada 3 Mei lalu, Reuters melaporkan pegawai Perbendaharaan AS akan berkunjung ke Malaysia di tengah-tengah dakwaan peningkatan dana yang mengalir ke Iran dan proksinya, termasuk Hamas, melalui sistem kewangan Malaysia.
Difahamkan, pegawai tertinggi sekatan Jabatan Perbendaharaan AS itu mengadakan kunjungan ke Malaysia dalam usaha menyekat saluran dana kepada Iran dan proksinya, selain pengelakan sekatan terhadap Russia.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan beliau akan bertemu Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan AS, Brian Nelson, esok bagi mendengar sendiri perkara yang ingin disampaikan. – UTUSAN










