KUANTAN: Kementerian Pendidikan mengumumkan enam inisiatif sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu bagi melonjakkan kapasiti keupayaan guru sebagai jauhari digital bersesuaian tema Hari Guru tahun ini, Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani.
Katanya, inisiatif pertama memberi ruang dan peluang kepada 500 guru terpilih seluruh negara untuk menyertai kursus terbabit khasnya dalam domain Kecerdasan Buatan (AI) daripada PIXLR.
“Kursus dengan nilai RM1 juta ini adalah untuk meningkatkan tahap pengetahuan dalam kecerdasan buatan dan menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang mana guru akan mendapat sijil pengiktirafan khusus ‘AI Educator’ daripada PIXLR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 Tahun 2024 bertemakan Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC).
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu Fadhlina berkata, dalam mengukuhkan latihan pengaplikasian teknologi digital pembelajaran dan pengajaran, kementerian itu akan bekerjasama dengan Apple Professional Learning Specialist Malaysia untuk melatih dan membimbing 100,000 guru untuk diiktiraf sebagai ‘Apple Teacher’.
“Dalam konteks memberikan pengiktirafan guru dalam melonjakkan usaha mengadaptasi teknologi semasa, seramai 1,000 guru terpilih akan menghadiri kursus dan menerima sijil profesional digital serta diiktiraf sebagai Guru Jauhari Digital Kementerian Pendidikan.
“Program Cuti-cuti Cikgu (CCC) yang diperkenalkan sebelum ini diberikan penawaran menarik dengan diskaun harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Pengangkutan diteruskan pada tahun 2024.
“Antara rakan strategik yang terlibat dalam CCC pada tahun ini, Malaysia Airlines (MAS), Firefly, Bank Rakyat, Wetland Putrajaya, AirAsia, Traveloka,” katanya.
Fadhlina turut mengumumkan inisiatif Dua geran penerbitan bernilai RM10,000 untuk menerbitkan penulisan berkenaan Tokoh Guru Madani dan Tokoh Kepimpinan Madani. – UTUSAN










