SELAYANG: Tiada elektrik, tiada internet dan kekurangan fizikal bukan penghalang kejayaan bagi dua pelajar luar biasa yang membuktikan bahawa semangat dan usaha gigih mampu mengatasi segala kekurangan apabila menjadi antara pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) 2024.
Pelajar terbaik STPM Orang Asli, Roziana A/P Tan Beng Hai, 20, berkata, dia tidak malu berdiri sebagai anak Orang Asli dan mahu memperbaiki kedudukan sosial keluarganya.
“Kampung saya jauh dari sekolah, lebih kurang sejam perjalanan. Sebab tu saya tinggal di asrama. Kampung kami pula tidak ada internet, jadi saya kena pergi dalam dua ke tiga kilometer di luar kampung kalau mahu dapat talian internet.
“Kampung kami juga tiada elektrik. Oleh itu, jika mahu menggunakan telefon kami terpaksa cas guna mesin penjana kuasa,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gemok, Kuala Rompin, kepada pemberita.
Dia yang tinggal di Kampung Melantang, Rompin mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dan berharap dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Roziana merupakan antara pelajar STPM 2024 yang dijemput pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warga Asing (SKBMW) di Dewan Besar (Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di Selayang, di sini, semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyampaikan penghargaan itu kepada pelajar terlibat.
Sementara itu, bagi pelajar terbaik kategori buta, Nik Muhamad Ahnaf Rujhi Raja Anuar, 20, tidak patah semangat untuk menuntut ilmu walaupun dirinya serba kekurangan.
Pelajar St John Institution itu berkata, pada mulanya dia mengalami kejutan budaya untuk menyesuaikan diri di sekolah kerana kekurangan yang ada padanya.
“Saya mengambil masa sehingga dua minggu untuk menyesuaikan diri dengan pelajar-pelajar normal.
“Saya mendapat inspirasi daripada kejayaan ahli keluarga saya. Mereka banyak memberi nasihat dan galakan agar saya tidak berhenti belajar, sebaliknya terus berusaha untuk mencapai kejayaan,” katanya yang berharap dapat memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk menjadi guru. – UTUSAN










